Shariman (kiri) dan Meor menunjukkan sebahagian daripada 210 kilogram daun ketum. FOTO /HAMZAH OSMAN
Shariman (kiri) dan Meor menunjukkan sebahagian daripada 210 kilogram daun ketum. FOTO /HAMZAH OSMAN
Oleh Hamzah Osman


Langkawi: Cubaan seorang remaja lelaki yang juga kakitangan feri menyeludup 210 kilogram (kg) daun ketum menggunakan feri penumpang gagal apabila ditahan di Jeti Kuah di sini, jam 2 petang semalam.

Suspek berusia 19 tahun itu ditahan bersama enam guni daun ketum yang diletak di tempat bagasi penumpang dalam feri.

Ketua Polis Daerah Langkawi Asisten Komisioner Shariman Ashari berkata, terdahulu, feri penumpang itu tiba dari Kuala Kedah jam 10 pagi.

"Hasil risikan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Langkawi, kami melakukan pemeriksaan terhadap feri sebelum menemui enam guni daun ketum segar.

"Ujian saringan air kencing mendapati suspek positif dadah jenis Methamphetamin," katanya pada sidang media di IPD Langkawi di sini, hari ini.

Turut hadir Ketua BSJN IPD Langkawi Deputi Superintendan Meor Azmi Meor Shamsudin.

Semakan mendapati, suspek yang berasal dari Kodiang, Kedah tidak mempunyai rekod jenayah lampau.

"Daun ketum dirampas bernilai RM2,100 namun harga pasaran gelapnya di Langkawi berlipat kali ganda.

"Suspek direman empat hari hingga Jumaat ini. Kes disiasat mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952 dan 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 9 Mac 2021 @ 2:04 PM