DAUN ketum dan ubat batuk yang dirampas polis susulan penahanan seorang lelaki di Jalan Kampung Alor Biak, Jitra. FOTO ihsan PDRM
DAUN ketum dan ubat batuk yang dirampas polis susulan penahanan seorang lelaki di Jalan Kampung Alor Biak, Jitra. FOTO ihsan PDRM
Muhaamad Hafis Nawawi

INGIN mencari wang mudah menyebabkan seorang lelaki sanggup menanggung risiko menjual daun ketum untuk pasaran di Pulau Langkawi sejak lima bulan lalu.

Bagaimanapun tindakan suspek berusia 41 tahun itu akhirnya terbongkar selepas ditahan polis di Jalan Kampung Alor Biak, Jitra, di sini, jam 9 pagi hari ini dan merampas70 kilogram (kg) daun ketum serta 708 botol cecair ubat batuk bernilai RM7,800.

Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superintendan Mohd Ismail Ibrahim berkata, suspek yang berasal dari Kuala Kedah itu ditahan sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kubang Pasu ketika sedang memandu kereta selepas menerima maklumat berhubung kegiatannya.

Menurutnya, hasil pemeriksaan di dalam kereta menemui enam bungkusan guni mengandungi daun disyaki ketum dan tujuh kotak cecair ubat batuk.

"Siasatan mendapati suspek sudah menjalankan kegiatan ini sejak lima bulan lalu dengan menjadi pembekal daun ketum untuk pasaran di Pulau Langkawi.

"Bagaimanapun kegiatannya itu tidak bertahan lama apabila berjaya ditumpaskan pihak polis," katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Beliau berkata, siasatan lanjut dijalankan mengikut seksyen 30 (3) Akta Racun 1952 yang memperuntukkan denda maksimum RM10,000 atau penjara maksimum empat tahun atau kedua-duanya sekali, jika disabitkan kesalahan.

"Kita akan memohon perintah tahanan reman esok (hari ini) bagi membantu siasatan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 19 Oktober 2017 @ 7:37 PM