TIGA lelaki ditahan kerana disyaki memproses dan menjual air ketum dalam tiga serbuan di Permas Jaya, di sini, pada Isnin dan kelmarin. FOTO ihsan PDRM
TIGA lelaki ditahan kerana disyaki memproses dan menjual air ketum dalam tiga serbuan di Permas Jaya, di sini, pada Isnin dan kelmarin. FOTO ihsan PDRM
Mohamed Farid Noh


Johor Bahru: Tiga lelaki ditahan kerana disyaki memproses dan menjual air ketum dalam tiga serbuan di Permas Jaya, di sini, pada Isnin dan kelmarin.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Mohd Padzli Mohd Zain berkata, serbuan kira-kira 11 malam hingga 3 pagi Isnin lalu dan kelmarin itu dilakukan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Selatan (JBS) dan Balai Polis Permas Jaya, hasil makluman awam.

Katanya, dalam serbuan pertama, 85 bungkus plastik lutsinar pelbagai saiz disyaki mengandungi air ketum serta satu periuk, dapur gas dan tong gas disyaki perkakas untuk memasak air ketum, berjaya dirampas.

"Dalam serbuan kedua, polis berjaya merampas empat bungkus plastik lutsinar pelbagai saiz mengandungi cecair yang disyaki air ketum dan enam bungkusan plastik berwarna putih berisi daun ketum.

"Dalam serbuan ketiga pula, polis berjaya merampas satu guni berwarna putih di dalamnya terdapat sisa dipercayai daun ketum, 50 bungkusan plastik berwarna putih berisi daun ketum dan pekakas yang dipercayai untuk memasak daun ketum seperti satu bekas periuk berwarna perak, satu unit dapur gas besi, satu unit tong gas, sebatang senduk besi, tiga unit penapis dan satu bekas penapis.

"Hasil soal siasat terhadap ketiga-tiga suspek mengaku bahawa daun dan air ketum milik mereka untuk kegunaan diri sendiri serta menjual kepada pelanggan tetap," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mengulas lanjut, Mohd Padzli berkata, air ketum 54.9 liter dan daun ketum 20 kilogram dianggar bernilai RM749.

Katanya, hasil ujian saringan awal air kencing terhadap ketiga-tiga suspek mendapati mereka negatif daripada sebarang dadah.

"Ketiga-tiga suspek tidak mempunyai kesalahan jenayah lampau.

"Kesemua suspek ditahan reman selama 3 hari hingga hari ini," katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 30 (3) Akta Racun 1952, yang membawa hukuman penjara maksimum empat tahun atau denda maksimum RM10,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 Februari 2021 @ 12:40 PM