Sebanyak 29 guni berisi daun ketum seberat 1,015 kilogram (kg) dirampas selepas Agensi Kawalan Sempadan Malaysia (AKSEM) Chuping selepas menahan sebuah kenderaan pacuan empat roda di satu kawasan kebun getah di Chuping, Padang Besar. FOTO IHSAN AKSEM Chuping
Sebanyak 29 guni berisi daun ketum seberat 1,015 kilogram (kg) dirampas selepas Agensi Kawalan Sempadan Malaysia (AKSEM) Chuping selepas menahan sebuah kenderaan pacuan empat roda di satu kawasan kebun getah di Chuping, Padang Besar. FOTO IHSAN AKSEM Chuping
Aizat Sharif


Padang Besar: Sebanyak 29 guni berisi daun ketum seberat 1,015 kilogram (kg) dirampas selepas Agensi Kawalan Sempadan Malaysia (AKSEM) Chuping menahan sebuah kenderaan pacuan empat roda di satu kawasan kebun getah di Chuping, di sini hari ini.

Komander AKSEM Perlis, Deputi Superintendan Azizan Saman berkata, kejadian berlaku sekitar jam 7.30 pagi ketika lapan anggota AKSEM Chuping sedang menjalankan tugas rondaan cegah penyeludupan Ops Benteng di sekitar kawasan ladang tebu Chuping.

"Ketika rondaan dilakukan, anggota kita terserempak dengan sebuah kenderaan pacuan empat roda jenis Mitsubishi Pajero berwarna perak berada dalam keadaan mencurigakan.

"Kemudian, kita bertindak menahan kenderaan berkenaan namun pemandu kenderaan itu bertindak melarikan diri bersama kenderaan itu menyebabkan anggota segera mengejar kenderaan itu menggunakan trak pikap AKSEM," katanya dalam satu kenyataan kepada media hari ini.

Katanya, suspek memecut kenderaannya itu sehingga memasuki satu kawasan kebun getah.

"Kenderaan suspek bagaimanapun terbabas dan beberapa lelaki yang berada dalam kenderaan itu segera melarikan diri serta meninggalkan kenderaan itu dalam keadaan enjinnya masih lagi hidup.

"Kita cuba mengejar suspek yang melarikan diri namun tetapi tidak berjaya dan pemeriksaan dalam kenderaan itu menjumpai 29 guni putih yang di dalamnya mengandungi daun hijau disyaki daun ketum," katanya.

Beliau berkata, bekalan daun ketum itu dianggarkan seberat 1,015 kg dan cuba diseludup ke Thailand menggunakan 'lorong tikus' di sekitar kawasan Chuping.

"Rampasan daun ketum termasuk kenderaan pacuan empat roda Mitsubishi Pajero itu dianggarkan bernilai RM50,450.

"Kesemua rampasan dibawa ke Kompleks AKSEM Chuping sebelum diserahkan kepada polis Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Padang Besar untuk siasatan lanjut," katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952 yang jika sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga empat tahun atau denda sebanyak RM10,000 atau kedua-duanya sekali.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 18 Mei 2021 @ 5:28 PM