Aizat Sharif


Padang Besar: Hampir satu tan metrik daun ketum yang cuba diseludup ke negara jiran berjaya dirampas, susulan penahanan dua lelaki secara berasingan di sini pada Sabtu lalu dan semalam.

Ketua Polis Daerah Padang Besar, Asisten Komisioner Mohd Shokri Abdullah berkata, penahanan pertama membabitkan lelaki berusia 35 tahun pada 1 tengah hari Sabtu, selepas dilihat mencurigakan ketika memandu Proton Satria di kawasan Guar Jentik, Beseri.

"Suspek dikejar sejauh dua kilometer sebelum berjaya dipintas (anggota trafik) dan pemeriksaan lanjut menemui 48 bungkusan plastik hitam berisi daun ketum (berat 480 kilogram) bernilai RM4,800.

"Barang larangan itu diletakkan di tempat duduk penumpang belakang yang sudah diubahsuai. Semakan lanjut mendapati suspek yang positif dadah, mempunyai empat rekod jenayah lampau berkait dadah selain satu kesalahan mengikut Akta Racun 1952," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Padang Besar di sini, hari ini.

Beliau berkata, suspek sering menukar kenderaan digunakan serta tempat simpanan daun ketum untuk mengelak kegiatannya terbongkar selepas aktif sejak pertengahan tahun lalu.

"Walaupun, negara jiran sudah ada pasaran daun ketum yang besar dan banyak, permintaan terhadap daun ketum di negara ini tetap ada dan dalam kes ini, suspek mendapat upah RM250 daripada pembekal untuk memasar daun ketum melalui laluan Wang Kelian.

"Suspek membeli daripada pembekal di negara ini pada harga RM6 sebelum ia dijual RM10 sekilogram di negara jiran," katanya.

Dalam pada itu, Mohd Shokri berkata, lelaki kedua berusia 59 tahun ditahan pada 12.10 tengah malam di sebuah stor di Wang Kelian, selepas risikan selama seminggu.

"Siasatan mendapati suspek memasarkan sendiri barang larangan itu dan sering mengubah lokasi stor yang dijadikan transit, sebelum daun ketum itu diambil individu dari negara jiran.

"Ketika serbuan, anggota menjumpai 500kg daun ketum dalam 19 guni bernilai RM5,000," katanya.

MOHD Shokri menunjukkan rampasan daun ketum yang cuba diseludup dua lelaki. FOTO Aizat Sharif.
MOHD Shokri menunjukkan rampasan daun ketum yang cuba diseludup dua lelaki. FOTO Aizat Sharif.

Menurutnya, suspek pertama direman tiga hari bermula semalam, manakala suspek kedua empat hari hingga 1 Februari, dengan kedua-duanya disiasat mengikut Seksyen 30 (3) Akta Racun 1952.

Untuk rekod, sejumlah 4,124kg daun ketum dirampas IPD Padang Besar dan Pasukan Gerakan Am pada Januari ini, berbanding 8,356 kg bagi bulan sama tahun lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 30 January 2023 @ 5:40 PM