Zuliaty Zulkiffli


Padang Terap: Empat lelaki yang cuba menyeludup daun ketum ke negara jiran ditahan di kawasan ladang getah Durian Burung di sini, oleh anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) pada Ops Benteng, jam 3 petang semalam.

Ketika ditahan, suspek berada di lokasi bersama longgokan guni berisi daun ketum.

Pada masa sama, tiga anggota ATM dari Kem Sahara, Durian Burung turut diserang seorang daripada suspek ketika dihampiri namun dapat dipatahkan.

Pemeriksaan kemudiannya menemui 13 guni mengandungi 379 kilogram (kg) daun ketum.

Ketua Polis Daerah Padang Terap Deputi Superintendan Mulkiaman Manzar berkata, suspek berusia 22 hingga 27 tahun itu kemudiannya dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Padang Terap.

"Tiga daripada suspek adalah rakyat tempatan manakala seorang lagi dipercayai rakyat Thailand dan tidak mempunyai dokumen perjalanan diri yang sah.

"Hasil siasatan, suspek warga Thailand menjadi jurupandu arah untuk menyeludup daun ketum terbabit ke negara jiran," katanya pada sidang media di IPD Padang Terap hari ini.

Turut dirampas empat motosikal digunakan suspek.

Mulkiaman berkata, hasil siasatan, kesemua suspek mengaku mengambil upah untuk menyeludup daun ketum itu melalui orang tengah dikenali sebagai 'Pak Lang' di Durian Burung.

Beliau berkata, daun ketum itu akan diseludup melalui lorong tikus dengan menggunakan motosikal.

"Mereka mengaku menerima upah RM50 untuk setiap guni daun ketum yang dibawa sehingga sampai ke Thailand.

"Suspek turut memberi alasan tiada kerja disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) menyebabkan mereka terpaksa menyeludup daun ketum untuk menampung hidup," katanya.

Mulkiaman berkata, kesemua suspek mengaku menjalankan aktiviti itu sejak hampir enam bulan lalu namun ia bergantung pada permintaan.

Suspek hanya menggunakan motosikal malah sentiasa mengubah masa untuk bergerak bagi mengelak dikesan pihak berkuasa.

"Suspek mengaku mampu menyeludup 15 guni daun ketum setiap seorang ke Thailand dalam tempoh seminggu namun jarang melakukannya.

"Di daerah ini, terutama di kawasan sempadan Durian Burung, ada banyak lorong tikus yang tidak mampu dimasuki kenderaan dan hanya boleh dilalui motosikal.

"Ia juga sukar dikesan namun anggota pasukan keselamatan sentiasa melakukan rondaan," katanya.

Taktik digunakan ialah, suspek akan membawa daun ketum itu ke kawasan hutan pada waktu malam sebelum diseludup ke Thailand pada siangnya.

Kesemua suspek direman empat hari dan kes disiasat mengikut Seksyen 30(3)Akta Racun 1952.

Suspek warga Thailand berusia 27 tahun akan disiasat mengikut Akta Imigresen.

"Suspek pertama dan kedua, masing-masing berusia 22 dan 24 tahun, mempunyai rekod jenayah lampau mengikut Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan pernah dihukum sebelum ini.

"Suspek ketiga berusia 27 tahun masih dalam perbicaraan berkaitan kes ketum," katanya.

ANTARA ketum yang pernah dirampas pihak berkuasa, sebelum ini. FOTO Arkib NSTP
ANTARA ketum yang pernah dirampas pihak berkuasa, sebelum ini. FOTO Arkib NSTP

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 17 November 2020 @ 2:45 PM