SEBAHAGIAN daripada  40 kilogram daun ketum yang dirampas Pasukan Polis Marin Wilayah 1 Langkawi. FOTO Ihsan PPM.
SEBAHAGIAN daripada 40 kilogram daun ketum yang dirampas Pasukan Polis Marin Wilayah 1 Langkawi. FOTO Ihsan PPM.
Hamzah Osman


PASUKAN Polis Marin (PPM) Wilayah 1 Langkawi merampas 40 kilogram (kg) daun ketum bernilai RM1,600 di Terminal Feri Kuah, Langkawi, semalam.

Komander Polis Marin Wilayah Satu, Asisten Komisioner Rosman Ismail berkata, rampasan dilakukan pada 5.30 petang dan bahan terlarang itu dipercayai cuba dibawa masuk ke pulau ini dari tanah besar.

Beliau berkata, daun ketum itu ditemui dibungkus dan disembunyikan dalam tiga beg dan ditinggalkan penyeludup di hujung ponton terminal feri terbabit.

“Hasil aduan awam, anggota PPM yang sedang melakukan tugas khas Op Covid-19 di kawasan itu memeriksa ketiga-tiga beg sebelum menemui daun ketum seberat 40 kg.

“Bagaimanapun, selepas menunggu kira-kira sejam, tiada individu datang untuk mengambil beg mengandungi daun ketum itu,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Rosman berkata, semua daun ketum itu kemudian dirampas dan diserah kepada Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Langkawi untuk tindakan lanjut.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952.

“PPM juga turut meningkatkan pemantauan di perairan Langkawi sepanjang tempoh pelaksanaan PKP bagi menghalang penularan wabak Covid-19,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 29 Mac 2020 @ 8:51 AM