Sebanyak 380kg daun ketum dirampas PGA9 dalam sebuah kereta jenis Myvi di Pangkalan Haram Aziz, Kampung Pisau Raut, Pengkalan Kubor. FOTO IHSAN PGA
Sebanyak 380kg daun ketum dirampas PGA9 dalam sebuah kereta jenis Myvi di Pangkalan Haram Aziz, Kampung Pisau Raut, Pengkalan Kubor. FOTO IHSAN PGA
Siti Rohana Idris


Tumpat: Batalion 9 Pasukan Gerakan Am (PGA) merampas 380 kilogram (kg) daun ketum dimuatkan dalam sebuah Perodua Myvi di Kampung Pisau Raut, Pengkalan Kubor di sini, malam tadi.

Daun ketum dianggarkan bernilai RM11,400 itu ditemukan dalam 19 bungkusan plastik diletakkan di bawah tempat duduk penumpang dan belakang serta dalam but kenderaan terbabit ketika penugasan PGA9 di Pangkalan Haram Aziz, di sini pada 8.30 malam.

Pegawai Pemerintah PGA9, Superintendan Nor Azizan Yusof berkata, daun ketum itu dipercayai mahu diseludup ke Thailand dan pemandu kereta berusia 36 tahun ditahan.

"Hasil semakan mendapati suspek mempunyai dua rekod lampau bersabit dadah manakala ujian saringan air kencing mendapati dia positif methampethamine.

"Suspek dan semua rampasan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tumpat dan kes disiasat mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952 serta Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Sementara itu, dalam rampasan kedua dibuat di kampung sama, PGA9 merampas satu kotak serta dua guni mengandungi 464 botol ubat batuk disorok di bawah sebuah rumah.

Nor Azizan berkata, tiga kotak itu mengandungi pelbagai jenis barangan kosmetik disyaki diseludup dari Thailand.

"Ubat batuk itu dipercayai untuk pasaran tempatan dan dijual kepada penagih sebagai campuran untuk air ketum bagi memberi kesan khayal dalam tempoh lama.

"Kesemua 464 botol ubat batuk itu dianggarkan bernilai RM4,640 manakala barangan kosmetik pula RM2,250 dan kami menahan lelaki berusia 49 tahun yang berada dalam rumah itu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 31 January 2021 @ 8:27 PM