GAMBAR HIASAN. Pasar malam percubaan di kawasan tempat letak kenderaan Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA) Gong Badak. FOTO GHAZALI KORI
GAMBAR HIASAN. Pasar malam percubaan di kawasan tempat letak kenderaan Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA) Gong Badak. FOTO GHAZALI KORI
Syaherah Mustafa


KERAJAAN negeri Kelantan akan memastikan peniaga pasar malam dan kedai gunting yang dibenarkan beroperasi mulai 15 Jun ini mematuhi Prosedur Standard Operasi (SOP) yang ditetapkan.

Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan, Dr Izani Hussin, berkata SOP terbabit akan dirangka sebelum dipersetujui dalam Jawatankuasa Kerja Keselamatan Negeri ( JKKN) Khas dalam masa terdekat.

Menurutnya, dalam mesyuarat berkenaan pihaknya biasa mengguna pakai keputusan yang dibuat kementerian namun tetap berbincang untuk membuat SOP bagi dilaksanakan demi keselamatan bersama.

"Kerajaan negeri mengambil sedikit masa untuk membuat sebarang keputusan kerana perbincangan bersama diadakan terlebih dahulu memandangkan pasar malam dan kedai gunting rambut antara lokasi berisiko tinggi.

"Namun begitu, kita melihat daripada sudut positif demi menjaga kepentingan rakyat serta membaik pulih ekonomi. Oleh itu, keputusan secara terperinci perlu diputuskan untuk kebaikan semua pihak.

"Tambahan pula, tempoh berkuatkuasa untuk kebenaran membuka pasar malam dan kedai gunting ini adalah 15 Jun, jadi kita masih ada masa untuk meneliti SOP membuat keputusan terbaik," katanya ketika dihubungi hari ini.

Terdahulu, akhbar melaporkan kerajaan bersetuju membenarkan pembukaan semula pasar terbuka, pasar pagi, pasar malam dan bazaria di seluruh Wilayah Persekutuan bermula 15 Jun ini.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata pembukaan semula pasar terbabit tertakluk kepada prosedur operasi standard (SOP) ketat yang ditetapkan Kementerian Kesihatan (KKM).

Dr Izani turut menasihatkan semua pihak supaya mengambil inisiatif serta meletakkan disiplin yang tinggi bagi menangani Covid-19 sebaik sahaja kerajaan melonggarkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) terbabit.

"Jangan keluar tanpa tujuan penting kecuali untuk bertugas atau berkeperluan selain tidak membawa golongan berisiko seperti kanak-kanak, warga emas dan yang berpenyakit seperti penghidap kencing manis dan darah tinggi.

"Lebih baik kita ikut sahaja normal baharu ini bagi mengelak dijangkiti sekali gus dapat memutuskan rantaian Covid-19 kerana jika semua pihak mengikut arahan yang ditetapkan, InsyaAllah kita semua dalam keadaan baik," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 7 Jun 2020 @ 11:33 AM