GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
Suraya Roslan


Kuala Lumpur: Fasa Satu Pelan Pemulihan Negara (PPN) masih menetapkan semua aktiviti sosial dan ekonomi tidak dibenarkan beroperasi kecuali sektor perlu yang disenaraikan dalam senarai positif dikeluarkan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, sektor pembuatan seperti automatif (kenderaan dan komponen), getah, seramik, besi dan keluli dan kilang perabot bagi tujuan eksport serta simen hanya dibenarkan beroperasi dalam Fasa Dua.

"Selain itu, senarai positif sektor yang dibenarkan beroperasi bagi Fasa Dua diperluaskan termasuk sektor perdagangan dan pengedaran.

"Ini termasuk kedai buku dan alat tulis, komputer dan telekomunikasi, barangan elektrik, kedai cuci kereta, kedai gunting rambut (perkhidmatan gunting rambut asas sahaja)," katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, kebenaran beroperasi bermula dari jam 8 pagi hingga 8 malam.

"Pergerakan rentas daerah dan negeri masih tidak dibenarkan kecuali bagi pergerakan guru sekolah dan pelajar kelas peperiksaan.

"Pergerakan rentas negeri bagi pasangan jarak jauh adalah dibenarkan bagi kes kecemasan dan khas sahaja dengan kelulusan polis," katanya.

Beliau berkata, bagi operasi restoran, kedai makan, gerai makan, kenderaan bersaji, penjaja tepi jalan, penjaja beredar, medan selera, pusat penjaja, gerai makan tepi jalan atau kiosk dibenarkan beroperasi dari jam 6 pagi hingga 10 malam.

"Selain itu, dalam Fasa Dua juga, pasar tani dan pasar pagi dibenarkan beroperasi dari jam 7 pagi sehingga 11 pagi dan terhad kepada enam komoditi iaitu sayur-sayuran, buah-buahan, barangan runcit, ayam proses, makanan laut dan daging.

"Bagaimanapun pasar minggu, pasar malam dan pasar tamu masih tidak dibenarkan dibuka.

"Semua aktiviti sukan dan rekreasi secara individu dan tidak bersentuhan fizikal dibenarkan," katanya.

Ismail Sabri berkata, menerusi Fasa Tiga PPN, semua aktiviti ekonomi adalah dibenarkan beroperasi kecuali aktiviti berisiko tinggi dan disenaraikan dalam senarai negatif iaitu spa, 'pedicure', 'manicure', pub dan kelab malam.

"Pergerakan rentas daerah dibenarkan sepanjang Fasa Tiga manakala pergerakan rentas negeri masih tidak dibenarkan.

"Selain itu, makan di restoran dibenarkan terhad kepada dua orang satu meja dengan mematuhi penjarakan fizikal.

"Bagi pengangkutan awam seperti teksi dan perkhidmatan e-hailing termasuk kenderaan persendirian, jumlah kapasiti ditingkatkan kepada tiga orang termasuk pemandu," katanya.

Menurutnya, selain itu, pembukaan sektor pendidikan termasuk sekolah, institut pengajian tinggi awam dan swasta, institut latihan kemahiran dan institusi pendidikan lain di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan dan Kementerian Pembangunan Luar Bandar serta agensi lain adalah tertakluk kepada Takwim KPM dan Kementerian Pengajian Tinggi serta penilaian risiko semasa Kementerian Kesihatan Malaysia.

"Aktiviti sosial masih tidak dibenarkan semasa Fasa Tiga, bagaimanapun kelonggaran untuk menerima tetamu atau pelawat di kediaman dibenarkan terhad kepada 10 orang dalam satu-satu masa.

"Aktiviti pelancongan adalah dibenarkan dengan syarat pelancongan dalam negeri sahaja dan pembukaan tarikan pelancong masih tertakluk kepada penilaian risiko semasa dan SOP yang ketat.

"Industri kreatif juga dibenarkan di Fasa tiga sebagai contoh acara langsung tanpa penonton," katanya.

Beliau berkata, Fasa Empat dapat dilaksanakan apabila bilangan kes Covid -19 adalah rendah, sistem kesihatan awam di tahap selamat dan program vaksinasi mencapai tahap imuniti berkelompok.

"Fasa terakhir ini akan membolehkan kita semua kembali semula kepada norma kehidupan seharian yang mana hampir kesemua sektor dibenarkan sepenuhnya tertakluk kepada SOP sedia ada yang ditetapkan.

"Ini adalah sebahagian senarai positif dan negatif bagi setiap fasa manakala SOP kekal seperti yang diumumkan dan maklumat lanjut secara terperinci boleh di akses di laman sesawang MKN," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 27 Jun 2021 @ 8:04 PM