Foto hiasan
Foto hiasan
Syaherah Mustafa

KERAJAAN Kelantan mengarahkan pihat berkuasa tempatan (PBT) 'duduk semeja' bersama peniaga bagi mencari prosedur standard operasi (SOP) terbaik untuk pembukaan semula pasar malam di negeri itu.

Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan negeri Dr Izani Hussin berkata, kerajaan negeri memberi jaminan menyelesaikan isu pembukaan semula pasar malam dalam masa terdekat.

Menurutnya, kebanyakan tapak pasar malam mempunyai ruang yang kecil menyebabkan tidak semua peniaga dapat beroperasi jika mengikut SOP membabitkan penjarakan sosial, justeru kaedah terbaik perlu dicapai untuk kesenangan semua pihak.

"Kita terpaksa meneliti dan mencari jalan termasuk menggunakan kaedah penggiliran berniaga atau sebaliknya.

"SOP terbaik perlu diputuskan agar semua pihak berpuas hati selain mencapai matlamat sebenar mengelak penyebaran Covid-19.

"Syarat daripada SOP Majlis Keselamatan Negara (MKN) terlalu ketat, jadi kita tengok pasar malam kita kecil.

"Kalau sebelum ini peniaga ada 20 orang, mungkin bila laksana SOP hanya 10 peniaga yang boleh muat," katanya selepas membuat lawatan dan menyerahkan sumbangan periuk kepada peniaga jagung di Kampung Tikat, Jalan Pantai Cahaya Bulan (PCB) di Kota Bharu hari ini.

Sementara itu, kerajaan negeri memperuntukkan lebih RM100,000 bagi memperbaharui sembilan gerai jualan jagung rebus di kawasan berkenaan.

Dr Izani berkata, usaha itu untuk menambah baik gerai bagi menarik perhatian pengunjung sekali gus dapat meningkatkan ekonomi serta sektor pelancong terutama di PCB.

"Selain itu, kita mahu memperluaskan hasil jualan dengan barangan lain seperti keropok dan juga batik memandangkan produk berkenaan turut dihasilkan di kawasan ini.

"Peniaga di sini turut diingatkan mengenai aspek kebersihan, keceriaan penjual serta meletakkan harga berpatutan agar lokasi ini terus menjadi tumpuan ramai dan kekal lama.

"Sudah menjadi tanggungjawab kita semua untuk meningkatkan taraf ekonomi terutama selepas negara menghadapi pandemik Covid-19, namun di PCB khususnya kita merancang pembangunan dengan mengekalkan alam semula jadi berkonsepkan kawasan riadah," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19


  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 Jun 2020 @ 3:11 PM