DAI Syed bersyukur rezeki semakin bertambah.
DAI Syed bersyukur rezeki semakin bertambah.
Syafil Syazwan Jefri


Diuji dengan pelbagai dugaan dan kontroversi, nama pendakwah selebriti, Dai Syed melalui pelbagai fasa dan transisi.

Namun, itu tidak pernah mematahkan semangatnya untuk terus berkarya, sekali gus dikurniakan dengan pelbagai rezeki.

Kini, Syed atau nama sebenarnya Syed Shah Iqmal Syed Mohammad Shaiful menanti kehadiran cahaya mata pertama hasil perkahwinan dengan pengacara, Hana Ismail.

"Hubungan dengan keluarga semua okay dan baik-baik saja. Saya dan isteri tinggal bersama ibu. Saya juga selalu ke Mesir berjumpa ayah saya.

"Beberapa minggu lagi isteri saya akan bersalin. Persediaan menjadi seorang ayah, mungkin rezeki makin banyak.

"Alhamdulillah. Dapat tawaran berlakon filem, dapat juga kerja-kerja sebagai agensi pelancongan dan isteri saya menjual batu kristal. Memang gemuruh juga menantikan anak pertama.

"Jantina bayi masih dirahsiakan, tapi kami akan jemput ke majlis akikah. Hana tak ada apa-apa alahan. Saya yang banyak mengidam berbanding dia," katanya.

Mencipta nama sebagai pelakon, Syed kini mampu berbangga dengan pencapaiannya apabila bakal membintangi filem berjudul Dajal: Satu Malam Diperdajal.

"Ini kali pertama saya berlakon filem. Apabila pengurus maklumkan mengenai tawaran ini, saya cakap terima.

"Ini peluang untuk saya juga sebab saya suka menceburi bidang seni juga. Saya asyik dapat watak ustaz, jadi bosan juga. Jadi, kalau boleh nak cuba watak lain juga.

"Sebelum ini, saya banyak berlakon drama untuk TV3 dan kebanyakan watak ustaz. Kalau boleh nak lari sikit. Bukanlah watak penjahat, tapi watak remaja sekolah atau apa-apa yang berbeza," katanya.

Tidak sekadar itu, Syed juga kini sibuk menguruskan perniagaannya di samping beberapa usaha lain.

"Saya menjual batu-batu kristal dan perniagaan bagus. Saya kerap ke Mesir dan tiba-tiba ada beberapa agensi yang tawarkan untuk saya menjadi 'tapak' di sana.

"Jadi, mana-mana agensi yang nak ke Mesir, saya ada di sana untuk bantu mereka di sana," katanya.

Selain Syed, filem Dajal: Satu Malam Diperdajal yang diarahkan Pierre Andre itu juga turut dibintangi Amir Nafis, Jay Iswazir, Jaja Iliyes dan ramai lagi.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 15 Julai 2024 @ 6:08 AM