FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
Norzamira Che Noh


KERAJAAN negeri Selangor akan meneliti beberapa garis panduan sebelum membenarkan beberapa aktiviti perniagaan seperti kedai gunting rambut, salun dan pasar malam beroperasi semula di negeri ini.

Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, beliau akan berbincang dengan semua Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) untuk melihat kaedah pelaksanaan operasi perniagaan berkenaan dilakukan.

"Saya akan bermesyuarat pada Selasa dan Rabu ini dengan PBT Selangor berhubung perkara ini, sebenarnya minggu lepas kita sudah berikan sedikit penjelasan (garis panduan) kepada mereka (PBT) dan mereka sudah bersiap sedia.

"Kita akan bincang untuk lihat pelaksanaannya dan saya mahu pastikan semua pihak patuh kepada garis panduan ini," katanya selepas lawatan ke Taman Langat Murni, Bukit Changgang, Kuala Langat, hari ini.

Beliau berkata, garis panduan itu akan lebih bertumpu kepada operasi pasar pagi dan malam kerana ia lebih penting dan membabitkan ramai orang.

Katanya, tarikh pembukaan semula diberikan lebih awal akan membantu kerajaan negeri membuat persiapan terutama dalam aspek pelaksanaan Prosedur Operasi Standard (SOP) serta adaptasi.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 7 Jun 2020 @ 8:21 PM