NG SZE HAN
NG SZE HAN
Ruwaida Md Zain

KERAJAAN negeri Selangor memutuskan pembukaan semula pasar pagi, pasar malam dan bazaria secara berperingkat di lokasi terpilih bermula 15 Jun ini.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam dan Pembangunan Kampung Baru, Ng Sze Han berkata, keputusan itu dibuat selaras pengumuman Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 7 Jun lalu berhubung pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

Katanya, kerajaan negeri menetapkan waktu operasi dalam tempoh PKPP bagi pasar pagi/ terbuka/ tani bermula 6 pagi hingga 11 pagi, manakala pasar malam jam 4 petang hingga 10 malam dan bazaria bermula 5 petang hingga 12 tengah malam.

"Kerajaan negeri bersetuju kaedah pengurusan dan kawalan bagi pembukaan pasar pagi, pasar malam dan bazaria itu ditentukan setiap pihak berkuasa tempatan (PBT) memandangkan operasi struktur kategori perniagaan ini berbeza-beza di setiap lokasi.

"Kaedah ini mengikut kesesuaian/ keupayaan di kawasan masing-masing dengan menjadikan Prosedur Operasi Standard (SOP) oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) sebagai rujukan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sze Han berkata, kaedah itu merangkumi beberapa perkara terutamanya peniaga dilarang menggunakan khidmat warga asing dalam aktiviti perniagaan, manakala jumlah peniaga termasuk pembantu terhad kepada tiga orang sahaja.

"Bagi pengunjung pula, hanya dua orang bagi satu keluarga sahaja dibenarkan masuk ke kawasan pasar dan berumur 13 tahun ke atas.

"Pengunjung tidak tertakluk kepada had tempoh maksimum, namun digalakkan tidak terlalu lama dan segera beredar setelah selesai urusan pembelian.

"Laluan keluar masuk pengunjung akan disusun mengikut kedudukan tapak lokasi dan tidak terhad kepada satu laluan keluar masuk sahaja," katanya.

Beliau berkata, dengan keputusan itu, semua pihak hendaklah sentiasa mematuhi SOP yang ditetapkan dengan mengamalkan pemakaian pelitup muka, mematuhi penjarakan sosial dan menjaga kebersihan seperti yang disarankan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

"Penggunaan Sistem SELangkah juga akan dilaksanakan di setiap lokasi dalam usaha membantu pihak berwajib untuk pengesanan punca kontak (contact tracing).

"PBT tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan penutupan operasi perniagaan atau lain-lain tindakan penguatkuasaan di bawah peruntukan undang-undang sekiranya didapati terdapat pelanggaran SOP oleh mana-mana pihak," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 Jun 2020 @ 3:44 PM