Joshua Zirkzee
Joshua Zirkzee
AFP

London: Manchester United menyambar penyerang Belanda Joshua Zirkzee, dari Bologna dalam perjanjian yang dilaporkan bernilai $46.3 juta bersamaan RM217.23 juta.

Zirkzee bersetuju dengan kontrak lima tahun bersama kelab Liga Perdana itu yang termasuk pilihan untuk tambahan 12 bulan.

United dilaporkan memilih untuk membayar lebih daripada klausa pelepasan Zirkzee yang bernilai $42.67 juta (RM200 juta).

Penyerang berusia 23 tahun itu cukup dikenali dalam saingan Serie A musim lalu apabila dia membantu Bologna layak secara mengejut ke Liga Juara-Juara.

Dia menjaringkan 12 gol dalam 37 penampilan untuk Bologna musim lalu dan juga adalah sebahagian daripada skuad Belanda yang mara ke separuh akhir Euro 2024 sebelum tewas kepada England.

Pengurus United, Erik ten Hag, bercakap dengan Zirkzee untuk meyakinkan rakan senegaranya itu untuk berpindah ke Old Trafford.

"Saya adalah pemain yang sentiasa memberikan segalanya untuk menang. Saya bersedia untuk cabaran seterusnya ini, untuk melangkah ke tahap lain dalam kerjaya dan memenangi lebih banyak trofi.

"Selepas berbincang dengan pengurus dan pemimpin kelab, saya tahu betapa menariknya masa depan di sini dan saya tidak sabar untuk memainkan peranan saya dalam mencapai kejayaan untuk Manchester United.

"Ia adalah satu keistimewaan untuk menyertai kelab yang ikonik ini. Saya perlu berehat sekejap sekarang selepas bersama pasukan kebangsaan, tetapi saya akan kembali bersedia untuk memberikan impak dengan segera," kata Zirkzee, yang memulakan kerjaya seniornya dengan Bayern Munich dan pernah dipinjamkan ke Parma dan Anderlecht sebelum menyertai Bologna.

Zirkzee akan bersaing dengan Rasmus Hojlund, Marcus Rashford, Alejandro Garnacho dan Antony untuk posisi serangan United pada musim akan datang.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 15 Julai 2024 @ 1:07 AM