SULAIMAN (dua dari kanan) dan Datuk Lim Ban Hong (tiga dari kanan) ketika menyaksikan penyerahan PPE oleh wakil Young Buddhist Association Of Malaysia Melaka State Liasion Committee kepada Dr Ismail Ali (kiri) di Batu Berendam hari ini. FOTO NAZRI ABU BAKAR
SULAIMAN (dua dari kanan) dan Datuk Lim Ban Hong (tiga dari kanan) ketika menyaksikan penyerahan PPE oleh wakil Young Buddhist Association Of Malaysia Melaka State Liasion Committee kepada Dr Ismail Ali (kiri) di Batu Berendam hari ini. FOTO NAZRI ABU BAKAR
Nazri Abu Bakar


KERAJAAN Negeri Melaka bakal meneliti dan memperhalusi Prosedur Operasi Standard (SOP) peniaga pasar malam sebelum memberi kebenaran menjalankan perniagaan termasuk di pasar tani.

Ketua Menteri Melaka, Datuk Sulaiman Md Ali berkata, kerajaan negeri amat bersimpati dengan nasib peniaga, justeru sebelum ini sudah membenarkan restoran dan kedai makan beroperasi seperti biasa dengan pelanggan boleh menikmati juadah di dalam premis, berkuat kuasa Jumaat lalu.

Beliau berkata, kebenaran itu turut membabitkan restoran mamak, medan selera, pusat penjaja, kedai makan tepi jalan berbumbung, kios serta kafe di hotel.

"Sehubungan itu, kerajaan negeri perlu meneliti SOP ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan (KKM) sebelum melihatkan kesesuaian pembukaan semula pasar malam di negeri ini.

"Saya sudah meminta EXCO Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Alam Sekitar negeri, Datuk Seri Abd Ghafar Atan dan Jawatankuasa Khas Covid-19 negeri dan agensi berkaitan untuk memperhalusi SOP diperlukan untuk membolehkan pasar malam kembali dibuka.

"Bagaimanapun, untuk 15 Jun ini , pasar malam di negeri Melaka masih belum dibenarkan. Kelulusan bergantung kepada SOP bakal diselaras walaupun ada negeri yang bakal membuka operasi perniagaan pasar malam pada tarikh berkenaan," katanya selepas menerima sumbangan Peralatan Pelindung Diri (PPE) di Batu Berendam, Melaka, hari ini.

Beliau berkata, pasar malam akan membabitkan satu kumpulan ramai dan sebab itulah pihaknya perlu meneliti SOP lebih terperinci.

Katanya, jika setiap gerai memerlukan penjarakan 1.5 meter hingga dua meter, berapa pula luas dan panjang kawasan yang terbabit serta kaedah mengawal pengunjung.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 7 Jun 2020 @ 6:48 PM