IJMAK  atau konsensus merupakan sumber perundangan Islam yang utama selepas al-Quran dan as-Sunah.
IJMAK atau konsensus merupakan sumber perundangan Islam yang utama selepas al-Quran dan as-Sunah.
Mohd Izuddin Mohd Kasim

Menurut teori perundangan Islam, ijmak (konsensus) adalah merupakan sumber perundangan Islam yang utama selepas al-Quran dan as-Sunnah. Terdapat perbezaan pendapat yang ketara dalam kalangan cendekiawan Islam terdahulu sebelum wujudnya kitab Usul al-Fiqh teragung Ar-Risalat berkaitan posisi atau kedudukan ijmak (konsensus) jika dibandingkan dengan qias. Al-imam al-Syafi'i dalam Jima'ul Ilm telah berjaya menjawab kritikan yang mengatakan ijmak bersifat statik, rigid dan tidak prospektif. 

Konsep ijmak yang seringkali disalahertikan oleh kebanyakan orientalis barat menafikan fungsi dan peranan ijmak tersendiri sebagai penanda aras dalam menjustifikasikan pendapat yang belum diselaraskan secara kolektif supaya tidak berlakunya percanggahan kenyataan secara zahir. Manakala faktor keabsahan ijmak tidak lagi menjadi topik perbincangan hangat antara fuqaha dan usuliyyin, sebaliknya kefahaman tentang premis asas qat'ie dilalāt dan dzan dilalāt yang terdapat dalam teks al-Quran dan as-Sunah yang dilihat sebagai sumber belum masak sehingga kini masih dibahaskan.

Secara epistemologi perkataan ijmak yang berakar daripada kata terbitan ijma'an mempunyai dua makna iaitu ketetapan dan kesepakatan. Al-imam al-Syafi'i mentakrifkan ijmak sebagai suatu kesepakatan umat terhadap permasalahan agama secara khusus selepas wafatnya Rasulullah Shallallahu'alaihi Wasallam. Di samping itu, Al-imam al-Syafi'i juga menegaskan kewajipan untuk mengikuti ijmak yang telah disepakati oleh para ulama sezaman. Rujuk ar-Risalat (m/s 534) cetakan Mustafa Babil Halabī dan Jima'ulIlm (m/s 51) cetakan Maktabah Ibn Taimiyyah kedua-duanya ditahqiq oleh Shaykh Ahmed Syakīr. 

Ijmak pada dasarnya diekstrak daripada firman Allah dalam surah an-Nisa' ayat ke 115 yang bermaksud: "Barang siapa yang menentang Rasulullah Shallallahu'alaihi Wasallam sesudah terbuktinya kebenaran di sebalik jalan yang diambil oleh baginda Rasulullah, maka jelaslah kesesatan baginya." Potongan ayat suci al-Quran ini jelas menunjukkan bahawasanya terdapat di sana ancaman yang sangat berat bagi mereka yang tidak mengikuti jalanan yang dipercayai oleh Rasulullah Shallallahu'alaihi Wasallam dan jalanan yang dipegangi oleh kaum Muslimin. Hadis baginda Rasulullah Shallallahu'alaihi Wasallam juga memberikan isyarat yang sama berkaitan ijmak di mana Rasulullah Shallallahu'alaihi Wasallam bersabda: "Tidak mungkin sesekali umatku akan bersepakat atas kesesatan." (Riwayat Abi Daud dan Tirmidzi)

Al-amidīidan Az-Zarkasyī merumuskan terma ijmak hanyalah termaktub bagi majoriti Ahl Al-Hallī Wa Al-'aqd yang tergolong dalam kalangan mereka yang mempunyai kepakaran dalam bidang agama seperti para mujtahid yang memenuhi piawaian ijtihad yang umum dan menguasai hampir keseluruhan perbahasan hukum hakam melalui tesktual syarak serta berkemampuan mengistinbatkan hukum daripada tesktual syarak tersebut secara tidak langsung. Adapun, kesepakatan masyarakat awam dan ketidaksetujuan sebilangan kecil mujtahid tidak membantut proses berlakunya ijmak yang telah disepakati sebelumnya. Tambahan pula, menurut Ibn Sa'athiey al-Hanafi terma ijmak yang disebutkan oleh al-Amidī tidaklah bertentangan dengan kefahaman yang ingin dikemukakan oleh majoriti fuqaha dan usuliyyin. Menyentuh perihal ketidaksetujuan sebilangan kecil para mujtahid, Ibn Sa'athiey al-Hanafīi menegaskan ia dinilai jika membabitkan permasalahan yang hipotesisnya berunsurkan ijtihad, namun begitu bagi permasalahan yang tidak berkaitan dengan sebarang unsur-unsur ijtihad, ketidaksetujuan mereka tidak lagi dikategorikan dalam khilaf tetapi ia bersifat ganjil dan wajar ditolak, rujuk al-Ihkām fi Uslual-Ahkam (m/s 1/262), Bahr al-Muhtfi Usul al-Fiqh (m/s 4/436) dan Syarh al-Asfahanī ala Badiēean-Nidzām al-Jami (m/s 2/146). 

Antara model ijmak pasca modenisasi yang menerapkan prosedur dan mekanisme ijmak yang hampir sama dengan konsep ijmak para mujtahid terdahulu adalah seperti kesepakatan peringkat badan legislatif undang-undang dan pemfatwaan tertinggi dalam Malaysia. Heboh dipolemikkan dewasa ini, isu Rang Undang-undang Mufti Wilayah Persekutuan perkara 4 (A) dibentangkan bagi bacaan kali pertama di Dewan Rakyat pada Rabu 3 Julai 2024 oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar. Ramai dalam kalangan masyarakat mahupun agamawan tidak menyedari hakikat RUU Mufti Wilayah Persekutuan yang baharu sahaja dibentangkan sebenarnya merupakan edisi kemas kini daripada (Akta 505) Akta Pentadbiran Undang-Undang Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1993 yang memperuntukkan pada Seksyen 39, individu yang menjawat jawatan Mufti Wilayah Persekutuan adalah seorang berakidahkan Asya'irah dan Maturidiah, bermazhabkan Syafie tanpa menafikan keperluan bertaklid dengan mazhab muktabar yang lain, bertasawufkan Al-Ghazali dan Junaid Baghdadi hanyalah terpakai dalam Wilayah Persekutuan. Kendatipun begitu, melalui hebahan media massa, kita dapati hampir keseluruhan para mufti di seluruh negeri dalam Malaysia sepakat menyatakan sokongan tidak berbelah bagi terhadap agenda RUU Mufti Wilayah Persekutuan. Ini jelas membuktikan konsensus para mufti telah berlaku. Tidak kurang juga beberapa perwakilan parti politik yang agak canggung melibatkan diri dalam memberikan kenyataan yang bertentangan dengan konsensus para mufti, sedangkan ahli politik bukanlah golongan yang berautoriti dan setaraf dengan barisan para mufti dalam memberikan kenyataan berkaitan isu keagamaan. Kaedah yang seringkali disebutkan oleh Al-imam Haramāyn dan Al-Ghazali bermaksud: "Kepentingan meraikan pengkhususan." 

Rakyat Malaysia perlu sedar agenda RUU Mufti Wilayah Persekutuan kali ini merupakan suatu keputusan yang sama telah dipersetujui di peringkat Mesyuarat Majlis Raja-raja Kali Ke-265 yang memperkenankan pemakaian garis panduan Kurikulum Pendidikan Islam Majlis Kebangsaan bagi Hal Ehwal Agama Islam
Malaysia (MKI) yang juga memperuntukkan ajaran akidah yang berpaksikan akidah Asya'irah dan Maturidiah. Sebagai penutup, Ayuhlah kita sama-sama menyokong agenda RUU Mufti Wilayah Persekutuan demi keharmonian agama, nusa dan bangsa. 


Penulis Calon Sarjana Pengkhususan Usul al-Fiqh Universiti Al-Azhar sesi 24/25

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 15 Julai 2024 @ 6:00 AM