MAJLIS diadakan secara ‘small & intimate’.
MAJLIS diadakan secara ‘small & intimate’.
Najiy Jefri


Siapa sangka dalam diam, pelakon dan pengacara Sean Lee hangat menyulam cinta dengan model, Bay Doucet yang kini sudah pun menjadi isterinya.

Melangsungkan perkahwinan dalam sebuah majlis intim dihadiri 200 tetamu di sebuah restoran di ibu kota baru-baru ini, Sean atau nama sebenarnya Lee Jia Ern, 30, kini bahagia melayari bahtera rumah tangga dengan wanita pilihannya itu.

Sean berkata, sebagai lelaki yang kini memegang tanggungjawab besar sebagai suami, dia perlu mempelajari banyak perkara bagi memastikan keharmonian rumah tangga yang baru dibina ini.

"Mestilah saya begitu gembira memulakan lembaran baru ini. Namun, banyak perkara yang perlu saya pelajari selepas memikul tanggungjawab sebagai suami. Dalam masa sama, rasa selesa sebab saya berkahwin dengan kawan baik saya," katanya.

Mengulas mengenai majlis resepsi yang diadakan, Sean mempunyai alasan tersendiri apabila hanya menjemput 200 tetamu pada hari bahagianya itu.

BAHAGIA melayari gerbang perkahwinan.
BAHAGIA melayari gerbang perkahwinan.

"Konsep perkahwinan kami dibuat secara kecil-kecilan bersama keluarga dan rakan-rakan rapat yang kami kenal secara peribadi.

"Walaupun kami sedar kehidupan kami ini diperhatikan oleh khalayak, tapi kami ingin menjaga privasi keluarga dan rakan-rakan yang hadir. Jadi disebabkan itu jugalah tercetusnya konsep perkahwinan 'small & intimate'," katanya.

Ditanya mengenai perancangan untuk menimang cahaya mata, Sean memberitahu buat masa ini mereka ingin menghabiskan masa berdua dan menyerahkan soal zuriat kepada rezeki.

"Anak-anak adalah rezeki daripada Tuhan, apabila tiba masanya, kami pasti akan berkongsi berita gembira kepada semua.

"Buat masa ini kami mahu menikmati kehidupan perkahwinan yang baru dibina dan meluangkan lebih banyak masa berdua," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 15 Julai 2024 @ 6:06 AM