PELUANG selebriti dan pereka muda tonjol rekaan di ICFW.
PELUANG selebriti dan pereka muda tonjol rekaan di ICFW.
Najiy Jefri


Sejak kebelakangan ini, semakin ramai selebriti menceburkan diri dalam bidang fesyen apabila berjaya menghasilkan beberapa koleksi pakaian untuk peminat mereka.

Selebriti menceburi bidang fesyen dan mengeluarkan koleksi pakaian sendiri seperti Karl Shafek, Nur Fazura, Neelofa, Datuk Aaron Aziz, Kaer Hazami dan ramai lagi.

Justeru pereka fesyen yang juga penganjur FM Group, Jonathan dan Farel Mikhail ingin mengajak selebriti dan pereka muda untuk menonjolkan rekaan mereka dalam Minggu Fesyen Budaya Antarabangsa (ICFW) yang akan berlangsung pada 2 hingga 4 Ogos ini di Tun Razak Exchange (TRX), Kuala Lumpur.

ICFW adalah salah satu program anjuran Precious Of Malaysia yang sudah memasuki tahun ketiga penganjurannya.

"Kami sedar dan tahu, ramai sebenarnya selebriti dan pereka muda di luar sana yang berbakat besar dan mempunyai idea di luar kotak serta kreatif.

"Jadi, inilah peluang untuk mereka menonjolkan potensi yang ada demi mengejar cita-cita sebagai pereka fesyen terkenal suatu hari nanti," katanya.

JOMATHAN dan Farel Mikhail ketika mengadakan sidang akhbar.
JOMATHAN dan Farel Mikhail ketika mengadakan sidang akhbar.

Dalam masa sama, Jonathan turut mengingatkan kepada mana-mana pihak yang ingin mengeluarkan koleksi pakaian supaya berhati-hati dalam menghasilkan sesuatu rekaan.

"Kreativiti dan relevan mengikut trend itu bagus. Cuma nasihat saya janganlah sampai 'melacurkan' budaya kita menerusi fesyen yang anda reka.

"Maksud melacurkan budaya itu adalah mereka cipta busana yang boleh mendatangkan persepsi negatif.

"Misalnya mereka baju Melayu yang jarang kainnya, guna tanjak dijadikan baju seksi untuk menutup bahagian dada dan sebagainya.

"Mungkin nampak kreatif bagi sesetengah orang tapi ia seolah-olah 'mencemarkan' identiti budaya Melayu.

"Apabila rekaan sebegini dibawa ke pentas peragaan ia dilihat seolah-olah mempersendakan budaya itu sendiri. Orang yang melihat pun sudah tidak kenal asal usul busana yang diperagakan," katanya.

Sementara itu, Farel berkata, tahun ini ICFW membawa beberapa kelainan seperti pembabitan pereka fesyen luar negara.

"Dua tahun berturut-turut kami membabitkan pereka fesyen tempatan sahaja. Kelainan untuk tahun ini kami turut menerima penyertaan dari negara-negara serantau iaitu Indonesia, Filipina, Thailand dan India.

"Menerusi pertandingan ini, kita dapat lihat pelbagai budaya yang dibawakan menerusi fesyen dari Malaysia dan negara luar.

"Untuk Malaysia, kami nak ketengahkan elemen Malaysia seperti batik, songket tenun atau apa-apa tradisi. Dalam masa yang sama, rekaan kontemporari atau gabungan tradisional dan moden pun dibenarkan.

"Pertandingan yang berkonsepkan tradisional kali ini agak mencabar kerana membabitkan pereka fesyen dalam dan luar negara," tambahnya.

Pertandingan membabitkan 10 kategori antaranya Koleksi Terbaik, Pereka Fesyen Baru Asia, Pereka Fesyen Berbakat, Pereka Fesyen Berpotensi, Showcase Terbaik, Inspirasi Budaya Terbaik, Reka Bentuk Tradisional Menyerlah, Pereka Fesyen Cemerlang dan Model Catwalk Terbaik.

Selain ICFW, Precious Of Malaysia juga akan menganjurkan Hari Tanjak Malaysia bersempena bulan kemerdekaan Ogos ini dan Hari Malaysia pada 16 September nanti.

Hari Tanjak Malaysia diadakan pada 10 Ogos ini di Pavilion Damansara Heights dengan mensasarkan 1,000 orang hadir memakai tanjak pada hari itu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 15 Julai 2024 @ 6:12 AM