SULAIMAN. FOTO Amir Mamat
SULAIMAN. FOTO Amir Mamat
Hassan Omar

KEPUTUSAN sama ada kerajaan negeri Melaka membenarkan operasi kedai gunting rambut, salun kecantikan, pasar malam, pasar pagi dan bazaria akan dimuktamadkan selepas Ketua Menteri, Datuk Sulaiman Md Ali mendengar taklimat Majlis Keselamatan Negara (MKN) Negeri Melaka, esok.

Selain itu, Mesyuarat Jawatankuasa Khas Covid-19 negeri yang dipengerusikan Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Alam Sekitar negeri, Datuk Abdul Ghafaar Atan akan turut membincangkan dan meneliti Prosedur Operasi Standard (SOP) ditetapkan MKN dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), esok, sebelum membuat keputusan itu.

Sulaiman berkata, walaupun Kerajaan Persekutuan sudah membenarkan salun kecantikan dan kedai gunting rambut beroperasi semula pada Rabu ini manakala pasar pagi, pasar malam dan bazaria di Wilayah Persekutuan dibenarkan beroperasi semula pada 15 Jun ini, kerajaan negeri perlu meneliti SOP berkenaan secara lebih mendalam.

"Kerajaan negeri mendengar keluh kesah rakyat yang terjejas akibat Covid-19 terutama mereka kehilangan pendapatan, termasuk peniaga pasar malam, pasar pagi, bazaria, kedai gunting rambut dan salun.

"Kerajaan negeri sedang memperhalusi lagi SOP ditetapkan MKN dan KKM dan walaupun kerajaan negeri menerima pelbagai maklum balas terutama dalam media sosial, sebagai negeri yang berasaskan pelancongan, kerajaan negeri perlu lebih berhati-hati sebelum membuat sebarang keputusan demi kepentingan semua pihak," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Sehubungan itu, beliau berharap semua pihak bersabar dan berjanji keputusan bakal dibuat tetap mengambil kira kepentingan semua pihak, termasuk peniaga yang terjejas bagi memastikan ekonomi negeri terus berkembang.

Sabtu lalu, Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan perkhidmatan kedai gunting rambut dan salun kecantikan dibenarkan dibuka semula mulai 10 Jun ini.

Kebenaran itu turut diberikan untuk operasi pasar malam, bazar dan gerai pasar terbuka mulai 15 Jun ini.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 8 Jun 2020 @ 3:40 PM