AMIRUDIN SHARI
AMIRUDIN SHARI
Norzamira Che Noh

SHAH ALAM: Kerajaan negeri akan membenarkan operasi pasar pagi, pasar terbuka, pasar malam dan bazaria secara berperingkat mulai 15 Jun ini.

Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, keputusan itu dibuat susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) yang dilaksanakan secara rasmi bermula semalam sehingga 31 Ogos.

"Ia akan dibuka secara berperingkat mulai 15 Jun dan prosedur operasi standard (SOP) sebagaimana yang sudah digariskan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) akan kekal menjadi rujukan teras bagi tujuan pelaksanaan dan penguatkuasaan.

"Namun, ia akan disesuaikan dan diselaraskan oleh PBT masing-masing mengikut piawaian yang sesuai dan strategik berdasarkan keadaan kawasan masing-masing," katanya menerusi satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, kerajaan negeri turut membuat ketetapan untuk membenarkan kelas muzik dan kelas seni beroperasi di Selangor.

Menurutnya, pihaknya juga membenarkan aktiviti pendakian (hiking) dengan satu-satu kumpulan tidak melebihi tiga orang selain perlu kekal mematuhi penjarakan sosial.

"Kerajaan negeri turut mengingatkan kepentingan untuk mengimbas kod QR dengan sistem SELangkah sebelum memasuki setiap premis, pemakaian pelitup muka dan mengamalkan tatacara kebersihan seperti mencuci tangan dengan kerap.

"Kita akan bertegas dan tidak akan teragak-agak untuk menutup mana-mana premis atau kawasan yang berisiko sekiranya pematuhan SOP gagal dipatuhi sepenuhnya oleh mana-mana pihak," katanya.

Terdahulu, pada Sabtu, Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan perkhidmatan kedai gunting rambut dan salun kecantikan dibenarkan dibuka semula bermula 10 Jun.

Kebenaran itu turut diberikan untuk operasi pasar malam, bazar dan gerai pasar terbuka mulai 15 Jun ini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 Jun 2020 @ 7:10 PM