GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
Audrey Dermawan


KESEMUA 12 pegawai Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Pulau Pinang yang ditahan, Selasa lalu kerana disyaki menerima rasuah sudah dibebaskan dengan jaminan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Sumber berkata, terdahulu tujuh suspek dibebaskan dengan jaminan SPRM pada Jumaat lalu.

Katanya, pembebasan lima individu lain pula dibuat secara berperingkat dengan individu terakhir dibebaskan, semalam.

“Seperti suspek lain, mereka dibebaskan selepas SPRM memperoleh maklumat yang diperlukan dalam kes berkenaan.

“Apa yang boleh dikatakan, pasukan penyiasat juga berpuas hati dengan hasil siasatan yang dijalankan,” katanya.

Katanya, pihak SPRM dijangka melengkapkan kertas siasatan kes terbabit sebelum diserahkan kepada pejabat Timbalan Pendakwaraya bagi tindakan lanjut.

Media sebelum ini melaporkan seramai 12 pegawai terbabit direman tujuh hari bagi membantu siasatan kes berkenaan mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.

Antara pangkat pegawai yang ditahan itu termasuk Superintendan, Asisten Superintendan dan Inspektor.

Mereka ditahan di pejabat masing-masing yang terletak di ibu pejabat polis kontinjen polis Pulau Pinang dan ibu pejabat polis daerah di sebelah Seberang Perai.

Difahamkan, mereka menerima suapan daripada syarikat pengangkutan supaya tidak mengambil tindakan terhadap pemandu lori yang melakukan kesalahan lalu lintas.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 16 Mac 2020 @ 6:20 PM