Audrey Dermawan


ISTERI kepada bekas Menteri Kewangan, Lim Guan Eng, Betty Chew ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Pulau Pinang, hari ini.

Perkara itu disahkan peguam Chew, Lee Khai, ketika dihubungi New Straits Times (NST), hari ini.

Terdahulu, Chew yang ditemani Khai dan adik Guan Eng, Lee Hui Ying, dilihat tiba di perkarangan ibu pejabat SPRM negeri di Georgetown, 10.45 pagi tadi.

"SPRM menahan Betty Chew. Saya menemaninya untuk memberi keterangan. Hui Ying tidak terbabit, sebaliknya beliau membayar ikat jamin Chew kepada SPRM sebanyak RM50,000," katanya.

Khai bagaimanapun enggan menjawab pertanyaan NST berhubung butiran penyiasatan kes yang akan dikenakan terhadap Chew.

Pagi tadi, suaminya, Guan Eng didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas tuduhan meminta rasuah membabitkan projek terowong dasar laut di Pulau Pinang.

Guan Eng mengaku tidak bersalah dan memohon dibicarakan sebaik pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Azura Alwi.

Dia dituduh melakukan kesalahan itu berhampiran Hotel The Gardens, Lingkaran Syed Putra, Mid Valley City, pada Mac 2011 dan didakwa mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009, yang boleh dihukum penjara maksimum 20 tahun dan denda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 atau mana yang lebih tinggi.

Guan Eng yang juga bekas Ketua Menteri Pulau Pinang juga dijadual dituduh di mahkamah Butterworth, Isnin ini bagi kes lain.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 7 Ogos 2020 @ 4:01 PM