Hiasan SPRM
Hiasan SPRM
Audrey Dermawan


SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan 12 pegawai kanan Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Pulau Pinang kerana disyaki menerima rasuah, hari ini.

Difahamkan, mereka berpangkat Superintendan, Asisten Superintendan dan Inspektor ditahan di lokasi berbeza termasuk di Ibu Pejabat Polis Kontijen (IPK) negeri dan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) di Seberang Perai.

Sumber berkata, mereka dipercayai menerima rasuah daripada syarikat pengangkutan supaya tidak mengambil tindakan terhadap pemandu lori yang melakukan pelbagai kesalahan trafik.

“Berdasarkan siasatan awal, wang rasuah yang diterima kumpulan terbabit dianggarkan berjumlah hampir RM500,000.

“Tangkapan terhadap mereka dibuat selepas SPRM melakukan risikan hasil maklumat diterima sejak Mei tahun lalu,” katanya.

Menurutnya, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009 dan pihaknya akan membuat permohonan reman terhadap suspek bagi membantu siasatan, esok.

Katanya, pihaknya juga menjangka akan membuat penahanan lain dalam tempoh terdekat berhubung kes sama.

“Kes ini sama seperti penahanan pegawai penguat kuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Pulau Pinang oleh SPRM pada April tahun lalu kerana mengambil rasuah daripada syarikat pengangkutan,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pesuruhjaya SPRM Datuk Seri Azam Baki ketika dihubungi mengesahkan penahanan 12 pegawai kanan polis terbabit.

“Kes ini masih dalam siasatan lanjut,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 10 Mac 2020 @ 7:40 PM