GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Oleh Audrey Dermawan


Georgetown: Wanita hamil enam bulan ditahan polis bagi membantu siasatan menghina Yang di-Pertuan Agong Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berhubung penganugerahan pingat kepada ahli politik veteran DAP, Tan Sri Lim Kit Siang.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Khaw Kok Chin berkata, wanita berusia 32 tahun itu ditahan di pekarangan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seberang Perai Utara pada 13 Jun lalu.

Katanya, tangkapan susulan laporan polis yang diterima daripada orang awam berhubung beberapa kandungan di media sosial yang boleh menjejaskan ketenteraman awam pada 7 Jun lalu.

"Wanita berkenaan ditahan Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) dan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman.

"Hantaran di media sosial itu juga mengaitkan figura terbabit sebagai pencetus rusuhan 13 Mei 1969," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Kok Chin berkata, beberapa bahan bukti iaitu komputer riba, telefon bimbit dan kad sim milik suspek dirampas bagi membantu siasatan.

Katanya, suspek dibebaskan dengan jaminan polis pada hari yang sama kerana sedang hamil enam bulan.

Siasatan dijalankan oleh USJT Bukit Aman mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 18 Jun 2023 @ 10:41 AM