Zaid Salim


SERAMAI 18 penyewa tinggal sehelai sepinggang apabila kediaman yang menempatkan 19 bilik musnah dalam kebakaran di Kampung Padang Hiliran, di Kuala Terengganu, hari ini.

Dalam kejadian 7.25 petang itu, seorang penyewa berusia 40-an turut mengalami sesak nafas akibat lelah.

Penyewa, Mohd Nazrul Mohd Yusof, 37, berkata, dia kerugian RM25,000 apabila pelbagai barangan miliknya, termasuk sebuah motosikal hangus.

“Saya bekerja sebagai pemuzik bebas dan bergantung kepada peralatan muzik untuk mencari rezeki, namun semuanya musnah apabila saya hanya sempat mengambil sebuah gitar,” katanya yang menyewa di bilik berkenaan sejak lima tahun lalu.

Dia yang menyewa di bilik bahagian bawah rumah setingkat itu hanya menyedari kejadian itu selepas terhidu bau hangit dari bilik sebelah yang dihuni seorang lelaki mengalami masalah mental.

“Pada mulanya saya terbau asap hangit sebelum rasa bilik makin panas dan meminta penyewa lain yang kebetulan ada di kawasan rumah membuat pemeriksaan, namun terkejut melihat api marak membakar bilik dihuni lelaki terbabit,” katanya.

Bagi pasangan suami isteri, Muhamad Afiq Syazwan Razali, 24, dan Suhida Sulaiman, 25, mereka bersyukur kerana kejadian berlaku ketika mereka tiada di rumah.

BIDIN (gambar kanan) kerugian hampir RM100,000 apabila rumah menempatkan 19 bilik yang disewa terbakar. FOTO Zaid Salim
BIDIN (gambar kanan) kerugian hampir RM100,000 apabila rumah menempatkan 19 bilik yang disewa terbakar. FOTO Zaid Salim

“Ketika kejadian, saya keluar untuk ke bank, manakala isteri yang bekerja sebagai jurujual di sebuah kedai menjual kasut masih di tempat kerja,” katanya yang bekerja sebagai pembantu kedai.

Pemilik rumah, Bidin Long, 79, berkata, dia kerugian hampir RM100,000 apabila kediaman berusia lebih 30 tahun yang dulunya adalah kilang batik musnah.

“Saya tahu kejadian itu selepas diberitahu anak perempuan yang tinggal bersama di kawasan berkenaan selepas solat Maghrib.

“Saya jadikan ia rumah saya dan terdapat sebanyak 19 bilik membabitkan sembilan bilik di bahagian atas dan 10 bilik di bahagian bawah.

“Sebuah bilik di bawah diberikan kepada adik ipar yang mengalami masalah mental dan kebakaran ini dipercayai berpunca dari biliknya,” katanya.

Menurut Bidin, sebelum kejadian, adik iparnya dikatakan memasak air menggunakan dapur kayu sebelum meninggalkan bilik berkenaan.

Sementara itu, Pegawai Zon 1 Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Terengganu, Penolong Penguasa Bomba (PPgB) Mohd Norshah Shahri berkata, pihaknya menerima panggilan 7.30 petang sebelum empat jentera bersama 20 pegawai dan anggota dikejarkan ke lokasi kejadian.

“Sebaik tiba, rumah itu sudah terbakar 60 peratus dan kami mengambil masa antara 30 hingga 45 minit bagi memadamkan kebakaran.

“Ketika ini, jumlah kerugian dan punca kebakaran masih dalam siasatan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 25 November 2019 @ 12:33 AM