GAMBAR Hiasan
GAMBAR Hiasan
Zuliaty Zulkiffli


REMAJA perempuan meninggal dunia selepas mengalami sawan ketika bermain badminton di rumahnya hari ini.

Mangsa, Umie Fazira Abdul Halim, 16, dari Sekolah Menengah Kebangsaan Pendang, Pendang meninggal dunia 11 pagi.

Ketua Polis Daerah Pendang, Deputi Superintendan Arriz Sham Hamezah berkata, berdasarkan maklumat keluarga pelajar itu, ketika kejadian mangsa bermain badminton di hadapan rumahnya.

“Sebelum ini pelajar itu pernah mengalami kecederaan ketika bermain badminton di hadapan rumahnya.

“Kejadian itu menyebabkan kecederaan pada sendi engsel kakinya namun ia tiada kaitan dengan kematian mangsa,” katanya.

Katanya, sejak itu mangsa mengambil cuti sakit 2 Oktober lalu sehingga hari ini untuk berehat.

“Ibu mangsa memaklumkan anaknya tidak sedarkan diri pagi tadi dan diserang sawan menyebabkan mulutnya berbuih.

“Berikutan itu ibunya membawa mangsa ke Klinik Kesihatan Pendang untuk mendapatkan rawatan namun mangsa meninggal dunia ketika dalam perjalanan antara 11 hingga 11.15 pagi tadi,” katanya.

Arriz Sham berkata, mayat mangsa dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) untuk proses bedah siasat.

Beliau berkata, setakat ini pihaknya masih menunggu laporan hospital untuk mengetahui punca kematian.

“Kita tak dapat sahkan lagi punca kematian remaja itu sehingga kita dapat laporan lengkap doktor,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 22 Oktober 2019 @ 6:03 PM