AHMAD (gambar kecil) meninggal dunia selepas motosikal ditunggangnya berlanggar dengan kereta Mercedes Benz dipandu lelaki warga Pakistan di Kilometer 60.2 Lebuhraya Utara Selatan menghala utara dekat Pendang, hari ini. FOTO ihsan polis.
AHMAD (gambar kecil) meninggal dunia selepas motosikal ditunggangnya berlanggar dengan kereta Mercedes Benz dipandu lelaki warga Pakistan di Kilometer 60.2 Lebuhraya Utara Selatan menghala utara dekat Pendang, hari ini. FOTO ihsan polis.
Zuliaty Zulkiffli


“ARWAH suami selalunya pulang ke rumah pada 3 petang selepas selesai kerja setiap hari, tetapi hari ini dia balik lambat...rupanya terbabit dalam kemalangan dan meninggal di tempat kejadian,” kata isteri kepada Ahmad Shafii, 71.

Ahmad yang juga pekerja syarikat Projek Penyelenggaraan Lebuh Raya Berhad (Propel) meninggal dunia dalam kemalangan di Kilometer 60.2 Lebuhraya Utara Selatan menghala ke Alor Setar di Pendang, 2.50 petang hari ini.

Dalam kejadian itu, Ahmad menunggang motosikal seorang diri dikatakan terbabit dalam kemalangan dengan kereta Mercedes Benz dipandu lelaki warga Pakistan berusia 36 tahun lalu terjatuh sebelum meninggal dunia.

Menurut isterinya yang enggan dikenali, dia terkejut sebaik dimaklumkan kemalangan menimpa suaminya dan bergegas ke Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Alor Setar untuk melihat keadaan suaminya.

“Kami reda dengan apa yang berlaku,” katanya ketika ditemui di pekarangan Jabatan Forensik HSB.

Difahamkan, mangsa ketika itu dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Taman Wira Mergong, Penang ketika hujan lebat.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Pendang, Deputi Superintendan Arriz Sham Hamezah berkata, siasatan awal mendapati, mangsa menunggang motosikal di sebelah kiri jalan sebelum memasuki laluan kereta berkenaan.

Beliau berkata, disebabkan jarak terlalu dekat, pemandu kereta itu terlanggar motosikal berkenaan menyebabkan penunggangnya terjatuh dan meninggal dunia di tempat kejadian.

“Pemandu kereta itu adalah warga Pakistan dikenali sebagai Raza Sameel yang menetap di Taman Bahagia, Alor Setar dan dia tidak cedera.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan setakat ini, siasatan masih dijalankan,” katanya.

Arriz Sham berkata, akibat kejadian itu, kereta Mercedes Benz lelaki itu rosak di bahagian hadapan manakala motosikal mangsa rosak teruk.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 1 April 2019 @ 10:04 PM