Lori milik mangsa yang menggilisnya menyebabkan mangsa meninggal dunia di tempat kejadian. FOTO IHSAN BOMBA
Lori milik mangsa yang menggilisnya menyebabkan mangsa meninggal dunia di tempat kejadian. FOTO IHSAN BOMBA
Zuliaty Zulkiffli


Pendang: Seorang lelaki maut digilis lori dipandunya ketika cuba menghentikan kenderaan itu yang tiba-tiba bergerak dalam kejadian di kuari Bukit Perak di Sungai Tiang, hari ini.

Mohd Sokeri Md Isa, 51, dari Sungai Tiang itu disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah yang dialami.

Ketua Polis Daerah Pendang, Deputi Superintendan Arriz Sham Hamezah berkata, kejadian berlaku sekitar jam 8.20 pagi sewaktu mangsa sedang memuatkan lori yang dipandunya dengan muatan batu kasar di lokasi kejadian.

Beliau berkata, ketika itu mangsa sedang mengikat tali kanvas pada lori berkenaan namun secara tiba-tiba lori itu menggelungsur ke hadapan.

"Mangsa cuba memanjat ke tempat duduk pemandu untuk menghentikan kenderaan itu namun terjatuh dan digilis oleh lorinya sendiri.

"Akibatnya mangsa mengalami kecederaan dan meninggal dunia di tempat kejadian manakala lori mangsa terbabas ke dalam kawasan pagar kuari," katanya ketika dihubungi hari ini.

Arriz Sham berkata, mayat mangsa kemudian dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di Alor Setar untuk proses bedah siasat bagi mengenal pasti punca kematian.

Beliau berkata, kejadian ini tidak membabitkan sebarang unsur khianat dan kes disiasat mengikut Seksyen 304A Kanun Keseksaan kerana dengan cuai menyebabkan kematian.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 April 2022 @ 5:15 PM