ANGGOTA badan manusia dikerat yang ditemui di dalam semak di Kampung Ladang, Krubong, Melaka, Khamis lalu. FOTO ihsan pembaca.
ANGGOTA badan manusia dikerat yang ditemui di dalam semak di Kampung Ladang, Krubong, Melaka, Khamis lalu. FOTO ihsan pembaca.
Nurul Fhatihah Zakinan dan Saliawati Salberi


POLIS tidak menolak kemungkinan lapan bahagian tubuh mayat manusia dijumpai di dalam semak di Kampung Ladang, Krubong, Khamis lalu milik dua beranak yang tular di media sosial sejak semalam.

Ketua Polis Melaka, Datuk Mat Kasim Karim berkata bagaimanapun, pengesahan akan ditentukan selepas menerima laporan bedah siasat kerana tidak mahu mengganggu proses siasatan.

“Kemungkinan berkenaan (milik dua beranak) ada, tetapi biarlah keputusan itu disahkan secara profesional kerana ada maklumat tidak sah dan itu akan mengganggu siasatan kita selanjutnya,” katanya ketika ditemui selepas menghadiri Majlis Istiadat Penganugerahan Darjah, Bintang, Pingat Kebesaran negeri, di Balai Istiadat, Seri Negeri, Ayer Keroh, hari ini.

Beliau berkata, dua beranak itu dipercayai mempunyai pertalian dengan suspek lelaki warga Singapura yang ditahan, semalam.

“Pengesahan lanjut perlu dapat daripada pihak patologi yang menjalankan bedah siasat dan pengecaman keluarga.

“Polis masih berusaha mendapatkan bukti tambahan dipercayai bahagian tubuh badan lain belum ditemui serta senjata digunakan bagi mengukuhkan siasatan kes,” katanya.

Terdahulu, tular di media sosial berhubung satu laporan pembunuhan seorang wanita berusia 27 tahun dan anak lelakinya berusia 11 tahun dipercayai dibunuh suaminya yang juga warga Singapura.

Ketika ditanya mengenai suspek lelaki itu sama ada bertindak sendirian dalam kes berkenaan atau sebaliknya, Mat Kasim berkata perkara itu masih dalam siasatan kerana suspek baru mendapat perintah reman hari ini.

“Menerusi bantuan polis Singapura, suspek berjaya ditahan dan baru tiba di negara ini, malam tadi sebelum kami mendapatkan perintah reman untuk siasatan lanjut,” katanya.

Di Mahkamah Majistret Ayer Keroh, hari ini, lelaki warga Singapura yang disyaki terbabit dalam kes pembunuhan kejam itu direman tujuh hari bermula hari ini.

Perintah tahanan reman sehingga 18 Oktober (Jumaat) terhadap lelaki berkenaan dikeluarkan Penolong Pendaftar Mahkamah Rendah Melaka, Syarina Shaarani@Tan.

Difahamkan, dua kepala dipercayai milik dua beranak sudah ditemui, namun polis masih belum mengesahkan perkara berkenaan termasuk lokasi penemuan kedua-dua kepala berkenaan.

Media sebelum ini melaporkan, mayat individu dipercayai mangsa bunuh ditemukan dengan lapan bahagian tubuh mayat berselerakan di dalam semak di Kampung Ladang, Krubong, pada 4 petang Khamis lalu.

  • Lagi berita berkaitan Mayat Dikerat Lapan
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 12 Oktober 2019 @ 5:17 PM