PEMAIN pertahanan England, Marc Guehi. FOTO Agensi
PEMAIN pertahanan England, Marc Guehi. FOTO Agensi
Agensi

Berlin: Tonggak pertahanan England, Marc Guehi akui tidak berhasrat untuk menyimpan pingat kemenangan jika negaranya berjaya menjinakkan Sepanyol dalam aksi final Euro 2024.

Sebaliknya pingat kemenangan itu akan diberikan kepada ibu dan bapa untuk disimpan oleh kedua orang tuanya itu.

Katanya, dia hanya mahu menyimpan kenangan dan memori indah itu dalam ingatannya kerana ia lebih bermakna.

"Saya akan berikan (pingat kemenangan) kepada ibu dan bapa saya. Mereka yang akan menjaganya.

"Bagi saya, apa yang penting adalah memori yang anda lalui dan boleh dikongsikan," kata pemain Crystal Palace dalam saingan Liga Perdana Inggeris itu.

Jelasnya lagi, dia sememangnya gemuruh menanti aksi final itu yang disifatkan penta tertinggi dalam kariernya sebagai pemain bola sepak.

"Saya hanya menikmati apa yang saya lalui di sini. Sudah tentu saya gemuruh tetapi kita gunakan perasaan ini untuk membantu kita," katanya.

England memburu kejuaraan pertama dalam saingan Euro sejak ia diperkenalkan pada 1960 di mana skuad The Three Lions tidak pernah mendakap trofi terunggul Eropah itu.

Malah, rekod England di peringkat antarabangsa juga kurang memberangsangkan apabila hanya sekali menjuarai Piala Dunia 1966 biarpun sering dianggap negara yang memiliki ramai bintang bola sepak dunia termasuk kelab di liga domestik yang terkenal.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 13 Julai 2024 @ 11:19 AM