MOHAMED Khaled menyampaikan ucapan ketika hadir Mesyuarat Perwakilan Umno Bahagian Machang di Pusat Transformasi Ilmu, Bukit Tiu. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
MOHAMED Khaled menyampaikan ucapan ketika hadir Mesyuarat Perwakilan Umno Bahagian Machang di Pusat Transformasi Ilmu, Bukit Tiu. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
Hazira Ahmad Zaidi


Machang: Keputusan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul tidak mengosongkan enam kerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) di Parlimen tiada kaitan dengan Kerajaan Perpaduan.

Naib Presiden Umno, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, Kerajaan Perpaduan tidak boleh disalahkan disebabkan keputusan yang dibuat oleh Speaker tidak boleh dipersoal.

Sehubungan itu, tegas Mohamed Khaled, dakwaan Ketua Pemuda Umno, Dr Muhammad Akmal Saleh yang mendakwa Akta Anti Lompat Parti hanya sia-sia adalah pandangan peribadinya.

"Keputusan Speaker itu adalah keputusan Speaker, bukannya kerajaan sebab parlimen adalah institusi yang bebas, badan legislatif dan Speaker mempunyai kedudukan tersendiri yang boleh membuat keputusan sendiri dengan menggunakan kuasa yang diperuntukkan kepadanya.

"Speaker juga sudah menyatakan pendirian dan asas-asas keputusan dan perlu faham itu adalah keputusan Speaker yang tidak didorong oleh pihak eksekutif iaitu Kerajaan Perpaduan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita dalam sidang media selepas merasmikan Majlis Perasmian Mesyuarat Perwakilan Umno Bahagian Machang 2024 di Pusat Transformasi Ilmu Bukit Tiu, malam tadi.

Sebelum ini, Muhammad Akmal dalam hantaran di Facebook berkata, jangan marah rakyat jika mereka benci pada orang politik, selamat menjahanamkan negara wahai katak-katak politik.

Hantaran itu dibuat susulan Johari memutuskan enam Ahli Parlimen Bersatu kekal sebagai wakil rakyat walaupun keahlian mereka dalam parti sudah tergugur kerana memberi sokongan kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Enam Ahli Parlimen itu ialah Ahli Parlimen Bukit Gantang, Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal; Zahari Kecik (Jeli), Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang), Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar), Datuk Suhaili Abdul Rahman (Labuan) dan Datuk Dr Zulkafperi Hanafi (Tanjong Karang).

Dalam perkembangan sama Mohamed Khaled berkata, rakyat perlu memahami bahawa pindaan Perlembagaan yang dibuat parti Bersatu itu dibuat dengan niat memastikan ahli-ahlinya hilang keahlian.

Bagaimanapun, jelas beliau, Speaker sudah membuat tafsiran undang-undang yang berkaitan secara menyeluruh tanpa ada desakan atau dipengaruhi oleh Kerajaan Perpaduan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 13 Julai 2024 @ 11:35 AM