Fairuz Zaidan


POLIS enggan mengesahkan keputusan ujian air kencing suspek yang dikaitkan dengan pembunuhan kejam dua beranak di Kampung Ladang, Krubong, Melaka, yang mayat mereka ditemui 10 Oktober lalu.

Ketua Polis negeri, Datuk Mat Kasim Karim sebaliknya mahu polis diberi ruang untuk melengkapkan keseluruhan siasatan berkenaan.

“Beri ruang kepada polis untuk menjalankan siasatan bagi memberi keadilan kepada semua pihak. Kita tidak boleh menghebahkan (maklumat) yang masih dalam siasatan.

“Apabila kes ini siap untuk dituduh, kami akan maklumkan kepada media,” katanya ketika dihubungi.

Katanya, pihaknya tidak mahu siasatan dibuat dalam keadaan tergesa-gesa, dan mahu pegawai penyiasat tidak terpengaruh dengan suasana di luar sebaliknya mempunyai ruang selesa untuk melengkapkan siasatan.

Beliau berkata, selain lokasi penemuan kedua-dua kepala dua beranak itu, identiti kedua-dua mangsa juga masih belum dapat disahkan susulan khuatir ia boleh mengganggu proses siasatan.

“Berilah peluang kita (polis) jalankan siasatan lanjut, saya perlu adil dan saya dah cukup beri penerangan,” katanya.

Ditanya kemungkinan ada suspek lain yang ditahan, Mat Kasim berkata, polis tidak boleh mendedahkannya kerana tidak mahu mengganggu proses siasatan.

Pada 10 Oktober lalu lapan bahagian tubuh badan mayat ditemukan berselerakan dalam semak oleh seorang pemotong rumput, di Kampung Ladang, Perindustrian Krubong.

Wanita dan anak lelakinya itu dipercayai dibunuh di rumahnya di Taman Merdeka Jaya sebelum dicampakkan ke kawasan semak, bagaimanapun kepala dua beranak itu ditemui di siling kediaman mangsa, 11 Oktober lalu.

Susulan kejadian, polis menahan lelaki warga Singapura yang juga suami mangsa, 12 Oktober lalu, kerana disyaki terbabit dalam kes pembunuhan itu.

Suspek direman selama tujuh hari sehingga esok bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

  • Lagi berita berkaitan Mayat Dikerat Lapan
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 17 Oktober 2019 @ 2:31 PM