GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan

Kuala Lumpur: Sebarang penggunaan wang sumbangan perlu mendapatkan keizinan daripada penderma terlebih dulu.

Tindakan untuk meletakkan sejumlah peratusan tertentu akan mengakibatkan jumlah wang yang digunakan melebihi daripada kos pengurusan sebenar dan hukum mengambil duit tanpa keizinan penderma adalah haram.

Berdasarkan satu terbitan daripada Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan (PMWP) menyatakan penggunaan wang sumbangan perlu mendapatkan keizinan melainkan untuk perkara yang sudah diterima secara 'uruf' seperti penggunaan kos pengurusan.

Kenyataan itu menjelaskan bahawa jumlah yang digunakan perlulah berdasarkan kepada kos pengurusan sebenar saja.

"Menetapkan jumlah peratusan tertentu akan mengakibatkan jumlah duit yang digunakan melebihi daripada kos pengurusan yang sebenar dan hukum mengambil duit lebih daripada yang diperlukan untuk kos pengurusan sebenar tanpa keizinan daripada penderma adalah haram.

"Selain itu, jumlah 30 peratus untuk digunakan sebagai kos pengurusan tidak pernah ditetapkan mana-mana pihak termasuk Bank Negara Malaysia (BNM).

"Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (JPPM) hanya meletakkan panduan umum bahawa kos pengurusan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang baik adalah tidak melebihi 30 peratus daripada belanjawan tahunan," katanya.

Pada masa sama, BNM menafikan wujud kebenaran khusus daripada pihak agensi itu kepada NGO untuk mengambil hingga 30 peratus daripada sumbangan awam terkumpul bagi menampung kos pengurusan mereka.

PMWP menjelaskan semua pihak terbabit dinasihatkan agar menggunakan duit sumbangan orang ramai dengan berhati-hati.

Katanya, ia adalah amanah yang dipertanggungjawabkan oleh orang ramai untuk dilaksanakan dan setiap sen diambil akan dipersoalkan oleh Allah SWT di akhirat kelak.

"Pada masa sama, Jawatankuasa Perundingan Hukum Syarak Wilayah Persekutuan (JPHSWP) meletakkan hukum menggunakan wang sumbangan orang ramai untuk kebaikan seperti mempromosi sumbangan adalah harus jika mendapat keizinan penderma.

"Keizinan penderma boleh diperolehi dengan cara pihak yang mengumpul derma menyatakan secara jelas tentang hasrat menggunakan sebahagian duit sumbangan bagi bayar kos promosi dan pengiklanan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 13 Julai 2024 @ 12:01 PM