Ramlah Zainal


Putrajaya: "Tiada istilah anak tiri sebab saya sayang semua seperti anak sendiri," kata pelakon, Ungku Ismail Aziz, 39, ketika ditanya mengenai hubungannya dengan dua anak isterinya yang juga pelakon, Nad Zainal, 34, dari perkahwinan sebelum ini.

Ungku Ismail berkata, dia menyayangi kedua-dua anak Nad iaitu Fahad Ibrahim, 8, dan Budi Kalsom, 4, seperti anak kandungnya sendiri.

"Saya tak sebut anak tiri tu dan kalau orang tanya anak-anak macam mana, saya akan beritahu ketiga-tiga anak sihat.

"Semua anak Nad, kami jaga bersama-sama. Tentulah separuh daripada diri mereka tu dengan ayah kandungnya dan separuh lagi dengan Nad. Mungkin saya bukan bapa kandung tapi mereka adalah anak-anak kami.

"Anak kandung saya pun, Ungku Indra Puteh pun bila dah besar nanti, saya layan sama saja seperti anak-anak yang lain," katanya.

Mengenai hubungan dengan dua anak Nad, kata Ungku Ismail, dia bersyukur kerana dua anak Nad menerimanya dengan baik dalam hidup mereka.

"Alhamdulillah, Allah permudahkan segalanya. Pada masa sama, saya dan Ibrahim berkongsi minat yang sama iaitu permainan video. Budi pula memang rapat dengan saya.

"Ada sekali telefon saya rosak dan bila Nad pakai telefon, dia tengok penuh gambar saya dan Budi dalam telefon berkenaan," katanya.

Nad sebelum ini mendirikan rumah tangga dengan Faliq Amiruddin pada 18 Disember 2015 dan dikurniakan dua cahaya mata. Bagaimanapun, mereka bercerai pada September 2022.

Nad kemudiannya berkahwin dengan Ungku Ismail pada 23 Januari tahun lalu dan dikurniakan seorang anak, Ungku Indra Puteh Al Maajid yang kini berusia sembilan bulan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 13 Julai 2024 @ 11:41 AM