BEKAS polisterin dibuang merata-merata oleh pengunjung program di pekarangan Masjid Al-Rusdhiyah, Kampung Sempeneh Cempaka , Batu Kurau, Perak, Sabtu lalu. FOTO ihsan pembaca.
BEKAS polisterin dibuang merata-merata oleh pengunjung program di pekarangan Masjid Al-Rusdhiyah, Kampung Sempeneh Cempaka , Batu Kurau, Perak, Sabtu lalu. FOTO ihsan pembaca.
Redzuan Muharam


“SAYA kesal kerana mereka tidak memberi kerjasama selain membuang sampah merata-rata di kawasan masjid,” kata Normaziah Che Omar berhubung sikap segelintir pengunjung program Kenduri Pulut Durian di Masjid Al-Rusdhiyah, Kampung Sempeneh Cempaka, Batu Kurau, Perak, Sabtu lalu.

Normaziah, 34, berkata, dia antara Ahli Jawatankuasa (AJK) yang terbabit dalam menganjurkan program berkenaan secara sukarela.

Katanya, program itu asalnya dianjurkan untuk penduduk kampung dan kawasan berhampiran, tetapi menerima kehadiran luar biasa berikutan tularnya sebuah poster awal bertajuk ‘Jom Makan Durian Sampai Pengsan’ yang disebarkan individu tidak dikenal pasti.

“Program berkenaan kesinambungan daripada aktiviti tahun lalu dan diadakan khusus untuk penduduk kampung dan berhampiran saja.

“Mengikut perancangan, hanya empat tan durian saja akan disediakan pada hari berkenaan, tetapi kehadiran melebihi jangkaan iaitu lebih 10,000 orang menyebabkan bekalan durian ditambah menjadi 12 tan.

“Sebagai penganjur, kami tidak menolak kehadiran orang luar cuma sikap mereka yang berebut, memotong barisan dan membuang biji durian serta bekas polisterin di tempat tidak sepatutnya membuatkan saya serta AJK terbabit terkilan,” katanya ketika dihubungi Harian Metro, malam ini.

Normaziah berkata, selain gagal memberi kerjasama, segelintir daripada pengunjung bersikap biadap dengan memaki hamunnya dan beberapa AJK lain ketika pengagihan dilakukan.

Katanya, keengganan mengikut arahan AJK bertugas menyebabkan proses agihan menjadi kelam-kabut dan tidak tersusun seperti dirancang.

“Seawal 7 pagi, orang ramai mula memenuhi perkarangan masjid meskipun program dijadualkan bermula pada 11 pagi iaitu selepas ketibaan tetamu kehormat.

“Keadaan jadi kecoh apabila mereka enggan beratur dan marah-marah kerana menunggu lama sedangkan kami perlu mengikut tentatif program seperti dirancang.

“Bagi meredakan keadaan, kami membuat agihan bubur dan pulut durian sebelum program bermula tetapi ada yang masih berdegil dan bertindak keterlaluan dengan mengambil sendiri makanan berkenaan di dapur hingga keadaan jadi kucar-kacir.

“Mereka turut menyerbu kenderaan pacuan empat roda yang membawa bekalan durian selain bertolak sesama sendiri tanpa mempedulikan arahan kami,” katanya.

Normaziah berkata, disebabkan tindakan individu tidak bertolak ansur, ada pengunjung tidak berpeluang menjamah durian disediakan.

Katanya, ada pengunjung sanggup datang dari jauh untuk menikmati durian, tetapi tidak berkesempatan kerana bekalan habis ketika mereka sampai.

“Bagaimanapun, segelintir pengunjung tidak faham dan mempersalahkan kami sedangkan sebagai tuan rumah, sudah tentu kami enggan perkara ini terjadi.

“Malah saya berusaha mencari bekalan tambahan untuk mereka yang datang di saat akhir.

“Namun, tiada ucapan terima kasih diberikan, sebaliknya cacian diterima.

“Apa yang berlaku adalah pengajaran untuk kami, namun acara berkenaan tetap akan diteruskan pada tahun depan dengan ditambah baik menerusi bantuan anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) atau polis supaya kekecohan sama tidak berulang,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 9 Julai 2019 @ 11:46 PM