MOHAMAD Rizam. FOTO Arkib NSTP
MOHAMAD Rizam. FOTO Arkib NSTP
Hazira Ahmad Zaidi

MAJLIS Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) meneruskan pengagihan zakat bagi membantu asnaf yang memerlukan sepanjang penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Yang Dipertua MAIK, Tengku Tan Sri Mohamad Rizam Tengku Abdul Aziz berkata, melalui Prihatin MAIK fasa ketiga, sebanyak RM9.3 juta diperuntukkan dan menjadikan jumlah keseluruhan pengagihan zakat untuk program berkenaan berjumlah RM21.9 juta.

Beliau yang juga Tengku Temenggong Kelantan berkata, walaupun kerajaan kini melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), MAIK akan meneruskan penyaluran agihan yang sudah dirancang.

"Tujuan program Prihatin MAIK ini adalah untuk menampung keperluan asnaf bagi meneruskan kelangsungan hidup mereka sepanjang Ramadan dan menyambut perayaan Aidilfitri nanti.

"Bagi fasa ini, MAIK membuat penyelarasan dengan membahagikan bantuan kepada dua kategori iaitu pertama Agihan Zakat MAIK dan kedua Bantuan MAIK Musibah Koronavirus (Covid-19)," katanya.

Mohamad Rizam berkata kategori pertama membabitkan perbelanjaan sebanyak RM3.9 juta yang diawalkan membabitkan tiga program iaitu agihan zakat bulanan kepada asnaf fakir dan miskin; elaun sara hidup pelajar tajaan MAIK luar dan dalam negara; serta bayaran penuh elaun sukarelawan dan imam rawatib masjid bandar dan jajahan.

"Manakala untuk kategori kedua pula menerusi Bantuan MAIK Covid-19 iaitu sebanyak RM5.4 juta yang diperuntukkan untuk disalurkan kepada enam kumpulan utama.

"Sebanyak RM1.8 juta dikhaskan untuk bantuan kepada asnaf yang terjejas akibat Covid-19 yang akan diagihkan melalui 603 masjid bandar, masjid jajahan dan masjid mukim di seluruh Kelantan.

"Bagi menjunjung titah Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V, sebanyak RM2 juta akan diagihkan kepada 10,000 orang asnaf menerusi Bantuan Khas (Muasaadah Ramadan)," katanya dalam satu kenyataan di Kota Bharu, hari ini.

Tambah beliau, MAIK juga mengagihkan sumbangan khas sebanyak RM700,000 kepada 1,965 Pegawai Masjid Mukim (imam tua, imam muda, bilal dan siak) dan RM782,000 diberikan kepada 4,100 ketua isi rumah orang asli di negeri ini.

"Pada masa sama, sumbangan Aidilfitri diberikan kepada 420 peserta Kelas Fardu Ain Mingguan Saudara Baru MAIK membabitkan jumlah peruntukan sebanyak RM105,000.

"Selain itu, MAIK turut menyalurkan sumbangan kepada 107 penjaga anak yatim (Darul Aitam MAIK) berjumlah RM54,000," katanya.

Beliau berkata, MAIK mengambil kira kesusahan rakyat memandangkan keperluan dan kepentingan agihan yang dihulurkan itu dapat menampung golongan sasar meneruskan kelangsungan hidup sepanjang bulan Ramadan ini.

"Ucapan terima kasih kepada semua pembayar zakat yang menunaikan ibadah zakat menerusi MAIK. Dengan adanya kutipan zakat tidak putus-putus ini, agihan kepada asnaf sentiasa berterusan," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 8 Mei 2020 @ 9:04 PM