MOHAMAD Noor (kanan) berbual dengan penerima anugerah pegawai masjid daerah pada Program Mesra Masjid Daerah Kuantan 2018. FOTO Mohd Rafi Mamat
MOHAMAD Noor (kanan) berbual dengan penerima anugerah pegawai masjid daerah pada Program Mesra Masjid Daerah Kuantan 2018. FOTO Mohd Rafi Mamat
Mohd Rafi Mamat


JABATAN Agama Islam Pahang (JAIP) berharap kerajaan dapat meluluskan projek pembinaan masjid di Brinchang, Cameron Highlands bernilai RM20 juta bagi memberi keselesaan masyarakat setempat dan pelancong.

Pengarahnya, Datuk Mohamad Noor Abdul Rani berkata, projek pembinaan masjid yang mampu memuatkan kira-kira 1,200 jemaah dalam satu-satu masa diluluskan kerajaan sebelum ini selepas menerima cadangan JAIP.

Bagaimanapun, katanya, kerajaan baharu hari ini membuat keputusan tidak dijangka apabila menangguhkan pembinaan projek berkenaan tanpa menyatakan bila ia dapat dimulakan.

"Projek terbabit sebenarnya sudah berada di peringkat akhir sebelum keputusan kelulusan persetujui serta disokong oleh beberapa agensi kerajaan terbabit. Ia sepatutnya diluluskan pada mesyuarat terakhir projek berkenaan namun disebabkan kegagalan pegawai kewangan hadir pada perjumpaan itu menyebabkan keputusan tidak dapat dibuat seperti dirancang.

"Selepas kerajaan baharu dibentuk, JAIP menerima surat penangguhan pembinaan masjid Brinchang itu," katanya pada majlis penutup Program Mesra Masjid Daerah Kuantan 2018 di Masjid Saidina Uthman Affan Bukit Rangin, Kuantan, malam tadi.

Program anjuran Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) dan Pejabat Agama Daerah Kuantan dengan kerjasama Masjid Saidina Uthman Bin Affan Bukit Rangin membabitkan pelbagai aktiviti seperti agihan bantuan keperluan harian kepada 100 asnaf, kursus sembelihan secara Islam, sumbangan ayam, pertandingan azan bagi kanak-kanak dan kuliah agama.

Mohamad Noor berkata, pihaknya akan memohon bantuan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Agama), Fuziah Salleh bagi membantu untuk menyelesaikan masalah yang berlaku demi kepentingan masyarakat Islam.

"Saya yakin projek pembinaan masjid di Brinchang, Cameron Highlands dapat dilaksanakan suatu hari nanti dalam memastikan keselesaan masyarakat setempat dan pelancong menunaikan solat selain melakukan aktiviti keagamaan lain.

"Masjid Brinchang yang ada sekarang tidak dapat menampung jemaah terutama solat Jumaat, justeru diharapkan kerajaan dapat mempertimbangkan permohonan pembinaan masjid baharu itu," katanya.

Selain itu, beliau berkata, keprihatinan Masjid Saidina Uthman Affan Bukit Rangin menyediakan peruntukan RM6,000 sebulan untuk menyediakan bantuan keperluan harian kepada 100 asnaf seharusnya menjadi contoh kepada masjid lain di negeri ini.

Katanya, program yang bermula Ogos tahun lalu itu dapat membantu meringankan beban golongan ibu tunggal, fakir miskin dan pesakit kronik. Mereka berdaftar dengan masjid sebagai penerima bantuan.

"Sokongan syarikat swasta dan individu dapat menjayakan lagi program bantuan kepada asnaf di kawasan ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 10 September 2018 @ 11:04 AM