ORANG ramai mendapatkan durian di Kampung Sempeneh, Batu Kurau. FOTO Effendy Rashid
ORANG ramai mendapatkan durian di Kampung Sempeneh, Batu Kurau. FOTO Effendy Rashid
Zahratulhayat Mat Arif


PEMINAT ‘raja buah’ mengambil peluang menikmati lebih 10,000 kilogram durian di Kampung Sempeneh, Taiping, menerusi Program Jom Makan Durian, Makan Sampai Pengsan, hari ini.

Penganjuran kali kedua sejak mula diperkenalkan tahun lalu menyebabkan lebih 10,000 pengunjung datang dari seluruh pelusuk negara, selain penduduk setempat mula memenuhi kawasan berkenaan seawal 7 pagi.

Kampung Sempeneh yang terletak lapan kilometer dari Bandar Batu Kurau cukup dikenali apabila menghasilkan durian berkualiti dengan rasa dan tekstur terbaik berikutan ia ditanam di kawasan bukit yang sejuk berhampiran Banjaran Titiwangsa.

Bukan saja dapat menikmati durian asli, penduduk turut menyediakan hidangan sampingan berasaskan durian antaranya pulut durian, serawa durian dan bubur durian, dengan 100 kilogram beras pulut serta 50 kilogram santan digunakan untuk menyediakan hidangan sampingan berkenaan untuk dijamu kepada pengunjung.

Ketua kampung, Hisham Ismail berkata, dia gembira dengan sambutan diterima daripada peminat durian dari seluruh negara yang sanggup datang ke kampungnya walaupun terpaksa mengharungi kesesakan lalu lintas yang teruk sebaik program bermula jam 10.30 pagi.

“Mereka datang dari Johor, Kelantan, Terengganu, Perlis dan Pulau Pinang dan sanggup meredah kesesakan jalan raya semata-mata untuk menikmati durian Kampung Sempeneh.

“Durian kampung kami mempunyai rasa unik, manis serta tekstur lembut, sememangnya tidak dapat dikalahkan dengan durian di tempat lain membuatkan pencinta durian ingin terus menikmatinya,” katanya.

ORANG ramai mendapatkan durian di Kampung Sempeneh. FOTO Effendy Rashid
ORANG ramai mendapatkan durian di Kampung Sempeneh. FOTO Effendy Rashid

Pengunjung dari Pulau Pinang, Alias Abdul Rahman, 39, merasakan kunjungannya berbaloi walaupun berjalan kaki sejauh tiga kilometer untuk ke tapak program.

“Perjalanan jauh dirasakan sangat berbaloi sebaik menikmati buah kegemaran dengan kemanisan teksturnya. Memang sedap dan ini kali pertama saya datang ke program seperti ini.

“Saya mengetahui acara ini menerusi rakan yang berkongsi maklumat program di Facebook. Saya tahu Batu Kurau menghasilkan durian terbaik dalam negara dan tidak mahu melepaskan peluang menikmatinya,” katanya.

Bagi Izyani Sulaiman, 33, yang sanggup datang dari Perlis, dia mengetahui mengenai program itu daripada rakannya yang berkongsi menerusi WhatsApp.

“Saya memberitahu keluarga dan merasakan perlu untuk kami menghabiskan hari minggu dengan menikmati durian di sini seterusnya melawat Taiping.

“Malah, saya sangat berpuas hati dengan rasa durian di sini dan ini adalah durian terbaik yang pernah saya nikmati,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 6 Julai 2019 @ 9:54 PM