Kamil (tengah) bergambar bersama penerima-penerima Sijil Ahli Jawatankuasa Hal Ehwal Industri, Kebajikan dan Data Finas. Foto Azhar Ramli
Kamil (tengah) bergambar bersama penerima-penerima Sijil Ahli Jawatankuasa Hal Ehwal Industri, Kebajikan dan Data Finas. Foto Azhar Ramli
Ridzuan Abdul Rahman


Kuala Lumpur: Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas) mengambil inisiatif menubuhkan Jawatankuasa Hal Ehwal Warga Industri, Kebajikan dan Data Industri, sebagai cara menyalurkan bantuan dan sumbangan kepada penggiat industri kreatif dengan lebih sistematik.

Menerusi pendekatan yang diambil, Finas bersama agensi dan persatuan lain di dalam industri kreatif tempatan termasuk beberapa badan korporat akan berkongsi rezeki menghulurkan bantuan atau sumbangan bagi meringankan beban mereka yang terpilih.

Pengerusinya, Datuk Kamil Othman berkata, Zed Zaidi yang dipilih sebagai ketua akan mengepalai misi mencari dan menerima sumbangan daripada pelbagai badan korporat untuk tujuan ini.

"Ini adalah komitmen kerajaan melalui Finas dalam membantu merealisasikan hasrat yang sudah lama dirancang.

"Finas memang daripada dulu lagi melihat bahawa penggiat seni memerlukan bantuan sama ada secara langsung atau tidak.

"Kami sudah mengambil kira sama ada bantuan itu perlu diberikan secara 'ad hoc' atau tidak. Dengan wujudnya AJK ini, bantuan itu tidak lagi diberikan secara 'ad hoc', tetapi secara sistematik," katanya ketika ditemui pada program sumbangan bantuan industri kreatif kepada Jawatankuasa Hal Ehwal Warga Industri, Kebajikan dan Data Industri di Pawagam Mini P Ramlee, Finas, Hulu Klang, semalam.

Kamil (tengah), Zed Zaidi dan tetamu yang hadir pada Program Sumbangan Bantuan Industri Kreatif Kepada Jawatankuasa Hal Ehwal Warga Industri, Kebajikan dan Data Industri. Foto Azhar Ramli
Kamil (tengah), Zed Zaidi dan tetamu yang hadir pada Program Sumbangan Bantuan Industri Kreatif Kepada Jawatankuasa Hal Ehwal Warga Industri, Kebajikan dan Data Industri. Foto Azhar Ramli

Menurut Kamil, mereka boleh melihat agihan dan keperluan setiap penerima dengan mengikut bentuk bantuan itu juga.

"Jawatankuasa yang dipimpin oleh Zed ini, sudah membina satu sistem di mana korporat atau individu boleh menyumbang kepada inventori bantuan tidak kira sama ada duit, barangan atau pakaian. "Ini adalah satu sistem di mana kami akan bekerjasama dengan Gabungan Persatuan Perfileman Malaysia (Gafema) yang sudah ada 11 persatuan di dalamnya," katanya.

Menerusi program itu, turut diumumkan penyumbang untuk bantuan berkenaan iaitu Koperasi Al-Najah yang menyumbangkan wang tunai RM10,000 bagi 2024 termasuk bantuan bekalan makanan; Eco Marine Group Berhad (sumbangan wang tunai RM10,000 bagi 2024); AHB Holdings Berhad (sumbangan wang tunai RM10,000 bagi 2024) serta NAA Gemilang Legacy (sumbangan kotak minuman).

Kamil mengingatkan supaya setiap ahli di dalam jawatankuasa berkenaan agar menggalas tugas diberikan dengan baik, sekali gus menyampaikan amanah secara telus kepada mereka yang memerlukan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 Disember 2023 @ 3:59 PM