Sulaiman mengagihkan juada berbuka percuma kepada orang ramai di Bazar Ramadan Masjid Tanah. FOTO Hassan Omar
Sulaiman mengagihkan juada berbuka percuma kepada orang ramai di Bazar Ramadan Masjid Tanah. FOTO Hassan Omar
Hassan Omar


Masjid Tanah: Sikap segelintir anggota komuniti mementingkan diri sendiri dengan mengambil juadah berbuka percuma secara berlebihan menyebabkan orang lain tidak sempat menikmatinya.

Itulah yang berlaku pada program Juadah Berbuka Percuma Gerobok Rezeki anjuran Umno Bahagian Masjid Tanah yang dirasmikan Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md Ali di Bazar Ramadan Masjid Tanah, di sini semalam.

Ia menyebabkan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tanjung Bidara, Datuk Md Rawi Mahmud hari ini mengeluarkan kenyataan meminta maaf atas kejadian berkenaan.

"Saya mohon maaf kepada mereka yang tidak dapat mengambil juadah berbuka di bazar Ramadan kerana kehadiran pengunjung di luar kawalan.

"Ini ditambah dengan sikap negatif sebahagian pengunjung yang mengambil juadah secara berlebihan dan akhirnya tidak sampai setengah jam, bekalan juadah berbuka puasa habis," katanya.

Sementara itu, berucap pada perasmian program itu, Sulaiman berkata, sebanyak 10,000 bungkus makanan diagihkan secara percuma di lima Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam Parlimen Masjid Tanah, iaitu DUN Lendu, Tanjung Bidara, Taboh Naning, Ayer Limau dan Kuala Linggi.

Untuk rekod, penganjur memberikan sejumlah wang kepada peniaga di bazar Ramadan setiap DUN untuk menyediakan bahan makanan yang diagihkan secara percuma kepada orang ramai.

Sementara itu, tinjauan wartawan di bazar ramadan berkenaan mendapati, kebanyakan pengunjung mengambil lebih daripada satu juadah untuk dibawa pulang.

Malah, ada segelintir mereka dilihat membawa makanan dalam jumlah yang banyak.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 2 Mei 2021 @ 12:48 PM