Siti Rohana Idris


Tumpat: Sebanyak 1.6 tan durian habis dalam masa dua jam 'diserang' orang ramai dalam pesta makan pulut durian percuma di Laman Warisan Kampung Laut di sini, semalam.

Program anjuran ahli perniagaan, Wan Zuraini Wan Hasan, 36, itu turut menyediakan 80 kilogram beras pulut.

Katanya, idea untuk menjamu orang ramai terutama penduduk kampung itu dengan pulut durian adalah kerana keluarganya juga penggemar menu itu.

"Memandangkan saya adalah anak jati Kampung Laut dan Laman Warisan Kampung Laut adalah lokasi pelancongan, maka saya memilih kawasan ini untuk penganjuran pesta pulut durian percuma," katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Wan Zuraini berkata, jamuan pulut durian percuma itu sebarkan menerusi media sosial beberapa hari sebelum berlangsung dan untuk itu, dia sendiri ke Raub dan Demak, Pahang, bagi mendapatkan bekalan durian menerusi dua pembekal.

Katanya lagi, walaupun kos keseluruhan untuk jamuan itu mencecah RM10,000, dia dan suaminya, Mohd Sufian Mat, 33, berpuas hati kerana dapat menjayakan jamuan amal itu.

ORANG ramai tidak melepaskan peluang dijamu dengan pulut durian yang di anjurkan oleh  sebuah syarikat pembekal kelengkapan dobi layan diri, AriqAisyah Trading. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
ORANG ramai tidak melepaskan peluang dijamu dengan pulut durian yang di anjurkan oleh sebuah syarikat pembekal kelengkapan dobi layan diri, AriqAisyah Trading. FOTO Nik Abdullah Nik Omar

"Kami sedar ada yang teringin untuk makan durian tapi tidak mampu membelinya dan disebabkan itu juga kami memutuskan untuk membuat jamuan sebegini dan terbuka kepada sesiapa sahaja yang hadir.

"Jamuan ini kali pertama kami anjurkan dan melihatkan sambutan dari penduduk kampung dan pengunjung lokasi pelancongan ini yang sangat menggalakkan, mungkin kami akan jadikan acara tahunan dengan menu yang berlainan," katanya.

Jamuan pulut durian percuma yang bermula jam 2.30 petang itu dibanjiri kira-kira 1,000 orang yang rata-ratanya berpuas hati dengan juadah serta layanan yang diberikan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 13 January 2023 @ 11:00 AM