ETO’O mengatakan keputusan itu mengejutkan dari beberapa aspek. FOTO Agensi
ETO’O mengatakan keputusan itu mengejutkan dari beberapa aspek. FOTO Agensi
AFP

Kaherah: Konfederasi Bolasepak Afrika (CAF) mengumumkan bahawa mereka mengenakan denda sejumlah AS$200,000 (RM844,000) kepada Presiden Persekutuan Bolasepak Cameroon, Samuel Eto'o atas suatu perjanjian jenama yang dianggap melanggar etika.

Bekas bintang Barcelona dan Inter Milan itu dituduh melakukan 'pengaturan pertandingan bola sepak', tetapi lembaga disiplin CAF mendapati 'bukti yang tidak mencukupi', menurut kenyataan dari organisasi berkenaan.

Namun, mereka mendapati bahawa Eto'o 'melanggar prinsip etika, integriti, dan kesukanan' dengan menerima perjanjian berbayar dengan sebuah syarikat perjudian dalam talian, dan menjatuhkan denda sebanyak AS$200,000 kepadanya.

Dalam satu kenyataan, peguam Eto'o mengatakan keputusan itu 'mengejutkan dari beberapa aspek'.

"Fakta yang didakwa tidak berasal dari pertandingan yang dianjurkan oleh CAF," kata peguam bekas pemain berkenaan.

Mereka menambah bahawa CAF tidak mempunyai bidang kuasa untuk mengeluarkan keputusan itu, terutamanya apabila 'CAF tidak mempunyai kod etika atau jawatankuasa etika'.

Eto'o dijangka akan 'membuat rayuan kepada Lembaga Rayuan CAF.

Sebelum itu, Eto'o yang kini berusia 43 tahun, baru-baru ini menjadi tumpuan selepas saling menyindir dengan jurulatih pasukan kebangsaan Cameroon, Marc Brys.

Brys dilantik oleh kementerian sukan negara itu tanpa persetujuan Eto'o.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 6 Julai 2024 @ 12:53 AM