Rokok seludup yang diletakkan di tempat duduk belakang dan bonet belakang Proton Iswara dipandu lelaki warga emas. FOTO Ihsan PDRM
Rokok seludup yang diletakkan di tempat duduk belakang dan bonet belakang Proton Iswara dipandu lelaki warga emas. FOTO Ihsan PDRM
Nurul Hidayah Bahaudin


WARGA emas ditahan selepas cuba menyeludup 220 karton rokok di persimpangan Jalan Kong-Kong, Pasir Gudang, Johor hari ini.

Komander Briged Tengah Pasukan Gerakan Am (PGA), Senior Asisten Komisioner Abdul Ghani Mohamad Ji berkata, lelaki berusia 61 tahun itu ditahan 2.20 pagi tadi ketika memandu kereta di kawasan berkenaan.

“Ketika sepasukan anggota Kompeni B Batalion 5 Briged Tengah melakukan rondaan di sekitar lokasi itu, mereka terserempak dengan Proton Iswara dalam keadaan mencurigakan sebelum menahan kenderaan terbabit.

“Pemeriksaan di dalam kereta itu menemui 220 karton rokok seludup dianggarkan bernilai RM10,400 yang diletakkan di tempat duduk belakang dan bonet belakang kenderaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Abdul Ghani berkata, pihaknya turut merampas Proton Iswara yang digunakan suspek untuk membawa rokok seludup berkenaan.

“Suspek dan rokok seludup yang dirampas dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seri Alam untuk tindakan lanjut mengikut Akta Kastam 1967,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 Mei 2019 @ 5:39 PM