DUA lelaki yang juga rakan kongsi dalam aktiviti pengedaran rokok seludup ditahan di belakang Bestari Walk, Jalan Bestari, Nusa Bestari, pagi tadi. FOTO ihsan PGA
DUA lelaki yang juga rakan kongsi dalam aktiviti pengedaran rokok seludup ditahan di belakang Bestari Walk, Jalan Bestari, Nusa Bestari, pagi tadi. FOTO ihsan PGA
Omar Ahmad
am@hmetro.com.my


Johor Bahru : Dua lelaki yang juga rakan kongsi dalam kegiatan pembekal dan pengedaran rokok seludup ditahan dalam pemeriksaan di tempat letak kenderaan belakang Bestari Walk, Jalan Bestari, Nusa Bestari di sini, pagi tadi.

Pegawai Pemerintah Batalion 5 Pasukan Gerakan Am (PGA), Superintendan Dimin Awang berkata, dalam kejadian jam 10 pagi itu, lelaki berusia 32 dan 44 tahun itu dikatakan leka memunggah kotak rokok seludup dari Proton Persona ke kenderaan kenderaan pelbagai guna (MPV) Cherry Easter.

Katanya, hasil siasatan, 225 karton rokok yang tidak mempunyai cukai kastam dirampas dan anggaran keseluruhan nilai rampasan termasuk dua kenderaan berjumlah RM79,734.

"Rokok dipercayai dibawa dari Indonesia dan kegiatan ini sudah beroperasi enam bulan.

"Dengan tangkapan dan rampasan ini, kita berjaya memutuskan satu rangkaian sindiket pengedaran rokok tidak bercukai di sekitar Johor Bahru. Tangkapan dan rampasan dibawa ke Ibu Pejabat Polis daerah (IPD) Iskandar Puteri untuk tindakan lanjut," katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 135 (1), Akta Kastam 1967.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 10 Jun 2021 @ 5:22 PM