SUSPEK yang ditahan bersama kenderaan dan rokok bernilai lebih RM2 juta di Kepong Baru, semalam. FOTO Ihsan PGA
SUSPEK yang ditahan bersama kenderaan dan rokok bernilai lebih RM2 juta di Kepong Baru, semalam. FOTO Ihsan PGA
Hafidzul Hilmi Mohd Noor


Kuala Lumpur: Polis berjaya menumpaskan sindiket pengedaran rokok tidak bercukai dengan rampasan sebanyak 8,207 karton rokok pelbagai jenama bernilai lebih RM2 juta dalam serbuan di sebuah rumah sekitar Kepong Baru, semalam.

Komander Briged Tengah Pasukan Gerakan Am (PGA), Senior Asisten Komisioner Zulkifli Jonit berkata, serbuan pada jam 11 pagi itu turut berjaya menahan seorang lelaki tempatan berusia 55 tahun .

"Serbuan ini dijalankan sepasukan pegawai dan anggota dari Briged Tengah PGA Cheras serta berjaya merampas pelbagai barangan termasuk rokok pelbagai jenama.

"Kita merampas 8,207 karton rokok, telefon bimbit dan kenderaan pacuan empat roda, Isuzu D Max yang disyaki digunakan untuk aktiviti pengedaran rokok," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Menurutnya, suspek adalah ketua dalam sindiket terbabit dan hasil siasatan mendapati dia mendapat bekalan di sekitar kawasan Keramat, Kuala Lumpur.

"Keseluruhan rampasan dianggarkan bernilai RM2,022,632.20. Dengan tertangkapnya suspek, polis percaya berjaya melumpuhkan satu sindiket pengedaran rokok tidak bercukai di sekitar ibu negara yang menjadikan kediaman yang disewa di taman perumahan sebagai stor penyimpanan rokok.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967 kerana memiliki rokok seludup dan polis turut menyeru masyarakat agar dapat menyalurkan sebarang maklumat berkaitan aktiviti yang menyalahi undang-undang," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 10 Mei 2022 @ 1:16 PM