Antara rokok seludup yang dirampas dalam Op Asap di Klang, Selangor semalam. FOTO Ihsan PDRM
Antara rokok seludup yang dirampas dalam Op Asap di Klang, Selangor semalam. FOTO Ihsan PDRM
Nurul Hidayah Bahaudin


LAPAN individu termasuk dua lelaki warga Bangladesh yang terbabit sindiket pengedaran rokok seludup ditahan dalam Operasi Asap (Op Asap) di Klang, Selangor semalam.

Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Polis Diraja Malaysia (PDRM) Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, serbuan itu dilakukan Cawangan Perisikan dan Siasatan Khas, Pasukan Gerakan Khas (PGK) Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JKDNKA) Bukit Aman hasil maklumat orang awam.

“Dalam operasi itu, kami menahan enam lelaki tempatan dan dua lelaki warga Bangladesh berusia antara 26 hingga 53 tahun.

“Sebanyak 97,650 karton rokok putih pelbagai jenama dianggarkan berjumlah lebih RM16 juta dirampas,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Rokok seludup yang dirampas dalam tiga kontena. FOTO Ihsan PDRM
Rokok seludup yang dirampas dalam tiga kontena. FOTO Ihsan PDRM

Acryl Sani berkata, pihaknya turut merampas masing-masing sebuah Mitsubishi Triton, Toyota Vios, Perodua Myvi selain empat lori, sebuah van dan tiga kontena.

“Jumlah keseluruhan rampasan bernilai RM16.35 juta. Semua suspek direman di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan selama 12 hari dari 4 hingga 15 Oktober ini untuk siasatan lanjut.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 4 Oktober 2019 @ 10:43 PM