ANTARA rokok seludup yang dirampas dalam serbuan di Jalan Chungah, Klang, Selangor, Selasa lalu. FOTO Ihsan Polis
ANTARA rokok seludup yang dirampas dalam serbuan di Jalan Chungah, Klang, Selangor, Selasa lalu. FOTO Ihsan Polis
Nurul Hidayah Bahaudin


TIGA lelaki ditahan selepas dipercayai terbabit dengan kegiatan pengedaran rokok seludup yang disembunyikan di sebuah gerai burger di Jalan Chungah, Klang, Selangor, Selasa lalu.

Pegawai Pemerintah Bation 4 Pasukan Gerakan Am (PGA) Semenyih, Selangor Superintendan Zulafendy Hassan berkata, tiga lelaki berusia antara 57 hingga 65 tahun itu ditahan di lokasi berkenaan pada 4.30 petang.

"Hasil soal siasat dilakukan terhadap tiga suspek berkenaan membawa kepada penemuan 194 karton rokok bersamaan 32,640 batang rokok dianggarkan bernilai RM37,999 disembunyikan di gerai burger berkenaan.

"Kami turut merampas sebuah kereta Proton Wira, tiga telefon bimbit dan wang tunai berjumlah RM2,770. Nilai keseluruhan rampasan berjumlah RM49,369," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, semua individu yang ditahan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan untuk siasatan lanjut mengikut Akta Kastam 1967.

"Hasil tangkapan dan rampasan ini, kami percaya dapat melumpuhkan antara sindiket pengedaran rokok seludup di Pelabuhan Klang.

"Kami menyeru orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kegiatan menyalahi undang-undang supaya tampil di balai polis berhampiran untuk tindakan lanjut," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 Julai 2020 @ 7:51 PM