Amirul Aiman Hamsuddin


LELAKI berusia 21 tahun yang juga dalang utama aktiviti pengedaran dadah di sekitar daerah Kuala Selangor diberkas polis dalam serbuan di Bestari Jaya, Selasa lalu.

Selain itu, dua rakan suspek juga ditahan dalam serbuan dilakukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Selangor.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Deputi Superintendan Noor Janihan Nanyan berkata, dalam serbuan pertama di sebuah rumah di Taman Cahaya, kira-kira jam 7 malam, polis menahan suspek pertama iaitu seorang lelaki berusia 24 tahun.

Menurutnya, suspek kedua berusia 34 tahun pula ditahan di Taman Sinaran, kira-kira sejam kemudian hasil maklumat daripada suspek pertama.

NOOR Janihan (tengah) menunjukkan dadah yang dirampas selepas menahan tiga lelaki pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kuala Selangor, hari ini. FOTO Amirul Aiman Hamsuddin.
NOOR Janihan (tengah) menunjukkan dadah yang dirampas selepas menahan tiga lelaki pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kuala Selangor, hari ini. FOTO Amirul Aiman Hamsuddin.

“Hasil pemeriksaan lanjut, polis menemui dadah jenis heroin seberat 151 gram dan syabu seberat 20.4 gram daripada kedua-dua suspek.

“Polis turut menyita sebuah Proton Wira dalam dua serbuan berkenaan,” katanya pada sidang media di IPD Kuala Selangor, hari ini.

Beliau berkata, hasil maklumat daripada kedua-dua suspek berkenaan, polis menyerbu sebuah lagi rumah di Taman Sinaran dan berjaya memberkas suspek utama.

“Kediaman suspek utama tidak jauh daripada rakannya dan pemeriksaan lanjut menemui heroin seberat 906.9 gram dan syabu 235.7 gram.

“Jumlah keseluruhan dadah dirampas bernilai RM30,000 dan bekalan dadah itu dipercayai dibawa masuk ke daerah ini daripada sindiket tempatan di Lembah Klang,” katanya.

Katanya, ketiga-tiga suspek ditahan reman tujuh hari hingga 1 April dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B, Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 Mac 2019 @ 2:57 PM