Dadah dirampas polis daripada tiga tokan dalam tangkapan berasingan di tepi Jalan Besar Felda Pasoh Tiga. FOTO IHSAN POLIS
Dadah dirampas polis daripada tiga tokan dalam tangkapan berasingan di tepi Jalan Besar Felda Pasoh Tiga. FOTO IHSAN POLIS
Abnor Hamizam Abd Manap


Jempol: Tiga pengedar dadah ditahan di tepi jalan besar Felda Pasoh Tiga pada serbuan berasingan awal pagi tadi.

Ketiga-tiganya yang juga lelaki berusia 32, 35 dan 39 tahun ditahan bersama pelbagai jenis dadah.

Ketua Polis Daerah Jempol Superintendan Hoo Chang Hook berkata, pada serbuan pertama, pihaknya menahan pengedar berusia 39 tahun dan berasal dari Petaling Jaya, Selangor, jam 12.30 tengah malam.

"Suspek terbabit dengan dadah sejak lapan tahun lalu dan mempunyai enam rekod berkaitan dadah serta satu rekod jenayah.

"Suspek mengaku mendapatkan bekalan heroin dan syabu daripada pengedar di sekitar Felda Pasoh Tiga. Kami turut merampas heroin seberat 2.3 gram (g) daripada suspek," katanya hari ini.

Pada serbuan kedua jam 1 pagi, pihaknya menahan suspek kedua berusia 32 tahun yang berasal dari Felda Serting Hilir 5.

Polis merampas heroin seberat 41g dan syabu seberat 18g selain menyita motosikal Honda RS150 daripada suspek.

"Dia mengaku mendapatkan bekalan dadah daripada pengedar juga di sekitar Felda Pasoh Tiga," katanya.

Suspek ketiga berusia 35 tahun pula ditahan jam 1.50 pagi.

Penahanan suspek berasal dari Felda Pasoh Tiga ini membawa kepada penemuan heroin seberat 55g dan syabu seberat 37g.

"Kami turut menyita motosikal KTM Duke milik suspek yang mempunyai lima rekod jenayah dan dua rekod dadah.

"Suspek mengaku mendapatkan bekalan dadah daripada seorang lelaki di sekitar Serdang, Selangor," katanya.

Ketiga-tiga suspek direman dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B, Seksyen 39A (1) dan Seksyen 39A (2) Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 Oktober 2021 @ 1:43 PM